Home Berita PAS Terengganu

Mana 14 juta kampit beras tempatan?

35
SHARE

KUALA TERENGGANU – Sungguh pelik apabila Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) sendiri bingung tentang kehilangan 14 juta kampit beras putih tempatan yang sepatutnya berada di pasaran.

Pengerusi Task Force (Kluster makanan) NACCOL, Datuk Syed Abu Hussain Hafiz Syed Abdul Faisal berkata, keputusan telah dibuat oleh pihaknya bagi memastikan beras itu diedarkan pada 20 Mac lalu.

Katanya, Pengarah kawal Selia Padi Negara, Datuk Azman Mahmood memaklumkan beras itu sepatutnya telah berada di pasaran pada waktu ini dengan kuantiti sebanyak 140,000 metrik tan.

“Telah disahkan dalam mesyuarat NACCOl bahawa beras putih tempatan sebanyak 14 juta kampit (disahkan ada) untuk diedarkan tetapi malangnya tiada, ke mana pergi beras putih ini?.

“Apakah aktiviti mengampit semula daripada beras putih tempatan kepada beras import masih berlaku.

“Saya akan minta penjelasan daripada pengawai Penguat Selia untuk namakan kilang yang mengeluarkan sebanyak 14 juta kampit beras itu dan di mana beras itu diedarkan supaya rakyat dapat maklumat untuk membeli beras tersebut menjelang perayaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas mengadakan lawatan serta tinjauan di dua pasaya Mydin Mall dan Giant Hypermarket di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut katanya, hasil tinjauan pihaknya mendapati beras 10 kilogram berharga RM26 juga tidak ada di pasar raya terbabit.

“Bermakna pengumumam yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum ada tindakan setelah seminggu diminta agar dibekalkan kepada rakyat.

“Saya telah pun pergi ke 60 lokasi yang berlainan di seluruh negara hanya terdapat di 10 pasar raya sahaja itupun dengan jumlah yang sangat sedikit antara lima hingga 10 kampit sahaja,” ujarnya.

Menjawab mengenai permasalahan beras merupakan masalah terpencil, katanya ia tidak menunjukkan sedemikian, kerana semua pasar raya yang dipantau menghadapi masalah bekalan tersebut.

“Maknanya bukan kes terpencil walaupun telah dibuat keputusan masih tidak ada lagi beras ini, jadi kemana perginya?.

“NACCOL dah buat keputusan 6 hari lepas, ketua Pengarah Kawal Selia pun telah mengesahkan ada 140,000 metrik tan beras untuk diedarkan tetapi malangnya beras itu masih tidak ada lagi di pasaran,” katanya.

Dalam pada itu beliau mengharapkan agar apa yang diputuskan oleh pihaknya dapat dilaksanakan oleh pembekal bagi memastikan rakyat dapat merasai keberadaan bekalan beras itu menjelang Hari Raya Aidilfitri.