KUALA TERENGGANU – Malaysia perlu terus mempertahankan prinsip asas dalam dasar luar negaranya iaitu menyokong mana-mana pihak yang berjuang menentang penjajahan, termasuk kumpulan Hamas yang kini berada di barisan hadapan mempertahankan tanah air Palestin daripada penjajah Zionis.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata pendirian Malaysia yang tidak mengiktiraf kewujudan haram rejim Israel mesti kekal dipertahankan tanpa tunduk kepada tekanan mana-mana kuasa asing.
“Kita sebagai rakyat Malaysia mesti mempertahankan mana-mana pihak yang berjuang demi agama dan tanah air mereka. Itu prinsip teras yang perlu kita pelihara. Dalam konteks Palestin, Hamas adalah kumpulan pertama yang wujud untuk mempertahankan agama dan tanah air mereka daripada dijajah,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Apresiasi Media Terengganu 2025 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, semalam.
Dr. Khalil turut menegaskan bahawa desakan supaya Hamas meletakkan senjata adalah bercanggah dengan prinsip Islam dan undang-undang antarabangsa, yang mengiktiraf hak setiap negara mempertahankan diri daripada penjajahan.
“Dalam piagam antarabangsa termasuk Piagam United Malaysian, jelas menyatakan bahawa perjuangan pembebasan termasuk secara bersenjata adalah sah dan wajar.
“Maka Hamas berada di pihak yang benar kerana mempertahankan tanah air mereka yang dijajah,” ujarnya.
Beliau menambah, Malaysia perlu konsisten dengan pendirian itu melalui pelbagai saluran, termasuk mengemukakan usul di Parlimen, menggalakkan boikot ekonomi terhadap entiti pro-Zionis, serta menggerakkan solidariti rakyat melalui demonstrasi aman dan kempen kesedaran.
Justeru, beliau menyeru kerajaan supaya bertegas dan tidak berganjak walaupun berdepan tekanan luar.
“Kita ada tanggungjawab moral dan prinsip terhadap isu ini,” tegas beliau.