Nadi Selangor by Roslan SMS | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
Oleh : Roslan Shahir Dato Mohd Shahir
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor
Alhamdulillah usaha kerajaan menghadapi pandemik Covid 19 mula menampakkan harapan cerah apabila kita beransur menuju ke tahap “herd immunity” atau imuniti berkelompok setelah pelan agresif imunisasi yang digerakkan hampir meliputi seluruh rakyat.
Menurut laporan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid 19 atau JKJAV sejumlah 65.1 peratus rakyat dewasa ataupun 15,241,655 orang dalam negara telah menerima dos vaksin masing-masing setakat 1 September 2021. Dari jumlah itu 85.1% telah selesai menerima dos pertama. Malah walaupun jumlah kes positif semalam adalah 20,988 kes namun cuma ada 0.5% atau 107 kes sahaja dalam kategori 5 yakni yang memerlukan sokongan mesin ventilator.
Apa pun kita perlu teruskan liputan vaksin ini selain memastikan aspek lain termasuklah spiritual terpelihara. Segala usaha kita ini ditentukan kejayaannya oleh Allah SWT lantas jangan sesekali kita ingkar pada Nya dengan membuka pintu atau ruang yang boleh mengundang murka Nya. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan Allah telah membuat suatu perumpamaan dengan sebuah negeri yang dahulunya aman dan tenteram, rezekinya datang kepadanya melimpah ruah dari segala tempat akan tetapi penduduknya mengingkari akan nikmat Allah, kerana itu Allah merasakan kepada mereka dengan kelaparan dan ketakutan disebabkan apa yang mereka lakukan”. (an Nahl ayat 12)
Hari ini dalam akhbar The Star ruangan pembaca, seorang pembaca LM Hwang dari Petaling Jaya menulis bawah tajuk “Reopen 4D outlets for more revenue”mencadangkan agar kerajaan Persekutuan menimbangkan agar premis judi tikam nombor atau 4D yang tidak dibenarkan beroperasi sejak Jun diizinkan beroperasi semula.
Alasannya kerajaan kehilangan pendapatan sebanyak RM80 juta seminggu dalam bentuk cukai perjudian apabila kedai-kedai judi “berlesen” ini tidak dizinkan beroperasi. Beliau berhujah tidak munasabah kedai-kedai judi ini ditutup atas alasan Covid 19 sedangkan perniagaan lain yang pelanggannya berada lebih lama dalam premis boleh beroperasi.
Menurut beliau semua jenis perniagaan berhak beroperasi kerana masing-masing mahu hidup.
Sebagai seroang bukan Muslim mungkin LM Hwang memikirkan kepentingan beliau dan segelintir masyarakat bukan Muslim yang lain yang minat berjudi (termasuklah segelintir yang Muslim). Tetapi tinggal di Malaysia yang majoriti penduduknya adalah Muslim dengan Islam pula adalah agama Persekutuan beliau perlu difahamkan bahawa tindakan kerajaan saya percaya bukan semata-mata kerana isu pandemik tetapi lebih besar lagi adalah kerana mahu mengelakkan murka Allah SWT.
Apa guna pendapatan RM80 juta sehari sekalipun tetapi Allah SWT menimpakan kesusahan dan azab buat rakyat sehingga ramai yang terkorban dan terhimpit hidupnya. Yang akan ditimpa bala bukan hanya yang bukan Muslim malah termasuk yang Muslim bersekali.
Ini bukan isu hak tetapi ini isu kepercayaan dan aqidah umat Islam yang kebetulan diwakili oleh kerajaan yang memerintah hari ini.
Diharapkan kerajaan Persekutuan tidak akan tunduk pada tuntutan seumpama ini dan meletakkan kepentingan Islam sebagai keutamaan dalam membuat dasar dan keputusan.
Konsep keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri seharusnya memupuk pembentukan sebuah keluarga besar yang sihat dan bebas dari segala bentuk maksiat dan perlakuan yang sesungguhnya tidak pun diterima oleh mana-mana agama dan kepercayaan lain.
Ini masanya untuk memberi penjelasan dan pemahaman. Jangan tunduk pada desakkan yang keterlaluan sehingga akhirnya Allah SWT membenci kita. Beringatlah.
3 September 2021 | 25 Muharram 1443H
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor