Home Rencana PAS Perlis

‘Mak Tok’, tiga dekad menabur bakti untuk PASTI Perlis

324
SHARE

Oleh MUHAMMAD NAZRI ABDULLAH

Tiga dekad perkembangan PASTI Perlis dirasai oleh sang guru yang telah mendidik sejak awal penubuhan di bumi Perlis hingga kini.

Beliau tidak mengenal lelah dalam mendidik dan mengajar anak-anak dalam kalangan masyarakat yang serba kekurangan pada ketika itu.

Berbekalkan kekuatan jati diri yang kental, segalanya diharungi hingga beliau dinobatkan Anugerah Guru Istiqamah dan Anugerah Mujahidah pada Disember lalu.

Cikgu Norhayati Abdul Razak atau lebih dikenali Mak Tok dalam kalangan guru PASTI Perlis telah melalui semua fasa perkembangan PASTI dari hanya lembaran subjek hingga ke era buku teks serba lengkap.

Penyelarasan demi penyelarasan sejak tahun 1989 hingga sekarang dibuat bagi memastikan PASTI sentiasa di hati ibu bapa.

Begitu juga dalam aspek pengurusan akademik, segala bengkel serta seminar kurikulum, kokurikulum, latihan mahupun buku teks dirancang dengan rapi.

Tiga dekad lamanya, segala perubahan telah beliau lalui. PASTI kini bukan lagi PASTI yang dahulu, namun, beliau masih di sini menabur bakti.

Kini PASTI telah memperkenalkan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak bagi meningkatkan kemahiran keguruan para guru PASTI seluruh Malaysia.

Sistem Perkembangan Prestasi Murid (SPPM) juga diwujudkan menilai perkembangan murid secara lebih menyeluruh dan mengurangkan kebergantungan kepada kaedah peperiksaan (exam oriented).

Elemen 5Celik bersepadu iaitu Celik Minda, Celik Bahasa, Celik Al-Quran, Celik Cergas dan Celik Sahsiah diperkenalkan bermula tahun 2020 yang lebih memberi galakan dan peluang buat anak-anak PASTI untuk membina keyakinan dan potensi kendiri.

Ketika Majlis Penghargaan PASTI Perlis baru ini, Cikgu Yati melihat sendiri sebahagian bekas anak muridnya turut berada di dalam majlis yang sama, baik selaku kepimpinan PAS Negeri mahupun petugas program tersebut.

Memori indah sang guru bersama anak-anak murid suatu ketika dahulu kemudiannya diabadikan pada akhir majlis bersama Ketua Pemuda PAS Negeri Perlis, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil yang juga seorang Alumni PASTI Perlis.