PAS Terengganu akan mengadakan majlis pengumuman calon-calon PAS-Perikatan Nasional Terengganu pada 27 Julai 2023 jam 9.30 malam di Dewan Tuan Guru, Pekarangan Masjid Rusila, Marang.
2. Insya-Allah semua 32 calon DUN dan seorang calon Parlimen Kuala Terengganu akan diumumkan pada malam esok.
3. Calon-calon yang akan diketengahkan nanti adalah calon yang berkualiti dan berkarisma dari segala aspek dan PAS-PN yakin kesemua calon bakal mendapat kepercayaan rakyat sekali gus merealisasikan hasrat 33-0.
4. Oleh itu, dengan segala hormatnya seluruh rakyat dan pengamal media dijemput ke majlis berkenaan.
ISU MADANI AFIAT
1. Kesempatan ini juga saya ingin menyentuh tentang program Madani Afiat yang dilaksanakan pada beberapa hari lepas. Program ini sangat baik, apabila jururawat turun ke lapangan bertemu rakyat melakukan pemeriksaan dan rawatan di rumah.
2. Namun apa yang dikesalkan adalah terdapat penglibatan daripada tokoh-tokoh politik BN yang memperlihatkan program ini seakan-akan menggunakan jentera kerajaan untuk parti politik.
3. Siapakah Dato Seri Ahmad Said dalam Kementerian Kesihatan Malaysia? Sehingga beliau boleh berada sama dalam program tersebut. Kenapa tidak diajak sama EXCO Kesihatan Kerajaan Negeri untuk turut bersama-sama.
5.Keadaan ini akan mewujudkan satu jurang yang tidak sihat antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.
6.Dalam program itu juga saya difahamkan ada ahli politik yang memakai pakaian melambangkan identiti sebuah parti mengiringi petugas kesihatan terbabit. Sekiranya benar, saya merasakan ia tidak patut berlaku kerana seolah-olah menggambarkan penjawat awam digunakan parti politik.
ORANG POLITIK MASUK SEKOLAH
1.Selain itu, saya juga terkejut apabila melihat gambar-gambar yang bertebaran di media sosial mengenai seorang jurukempen politik BN masuk ke sekolah SESMA bercakap pada anak-anak pelajar, yang saya difahamkan daripada Tingkatan 6.
2.Apakah ini juga merupakan satu bentuk salah guna premis kerajaan disaat suasana PRN yang akan diadakan tidak lama nanti?
3.Apakah kelayakan atau tauliah yang ada pada jurukempen politik BN itu untuk masuk ke institusi pendidikan? Kerana semua sedia maklum jurukempen politik itu cukup aktif berpolitik ketika ini, jadi saya agak hairan kenapa jurukempen BN itu dapat masuk ke sekolah dengan mudah.
4.Justeru saya ingin mengingatkan semula semua pihak tentang kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil yang melarang penggunaan agensi kerajaan untuk berkempen politik.
SERANGAN PERIBADI
Pesta demokrasi bakal memasuki fasa baru apabila proses penamaan calon dijalankan pada 29 Julai, Sabtu ini. Saya menyaksikan suasana setakat ini agak rancak dengan perang bendera antara semua parti politik.
Saya berharap suasana ini kekal tenang tanpa sebarang ketegangan walaupun saya mendapat maklumat sudah ada serangan peribadi dilancarkan terhadap calon PAS.
Saya menyeru kepada pihak terbabit agar tidak meneruskan kempen politik seperti ini kerana ia merupakan amalan tidak baik, berpolitiklah secara matang, hebahkan apa tawaran kepada rakyat, bukan bermain sentimen peribadi.
Sekian,
Terima kasih.
Dato’ Haji Hussain Awang,
Pesuruhjaya PAS Terengganu.