Home Artikel PAS Wilayah

Majlis Konvokesyen PASTI Kawasan Wangsa Maju Ke-5 Meriah

1306
SHARE

Wangsa Maju – Majlis Konvokesyen (Ihtifal) kali ke 5 Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Wangsa Maju telah berlangsung di Sekolah Kebangsaan Danau Kota dengan penuh meriah melibatkan 450 orang pelajar daripada 8 buah PASTI dan pelajar tahun 1 dan 2 dari SRITI pada 11 November yang lalu.

Majlis Konvokesyen yang berakhir kira-kira jam 1.00 petang itu telah dihadiri kira-kira 1000 orang yang kebanyakannya adalah dari kalangan ibu bapa dan penjaga pelajar.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengerusi PASTI Kawasan Wangsa Maju, YM Engku Mohd Hafiz Engku Aziz.

“Kita harus berasa bangga dengan pelbagai pencapaian pelajar-pelajar PASTI Kawasan Wangsa Maju sehingga hari ini di mana kualiti yang kita miliki bukan sahaja di peringkat negeri malah sehingga di peringkat kebangsaan.” ujar beliau teruja.

Turut hadir ke majlis gemilang ini ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Wangsa Maju, Ustaz Abdul Hadi Mohd Ghazali.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada ibubapa kerana memberi kepercayaan kepada PASTI untuk mendidik anak-anak mereka mengikut acuan Islam.

Selain anugerah pelajar-pelajar cemerlang, majlis konvokeysen kali ini turut diserikan dengan Anugerah Bakat Cilik yang disandang oleh adik Zakwan Uzair bin Ramlan dari PASTI An-Nahli 2, di mana adik Zakwan adalah Johan bagi acara Khutbah dalam Pertandingan Alam Ria PASTI Malaysia yang lalu.

Acara kemuncak ialah sesi penyampaian Anugerah Imtiyaz iaitu Pelajar Terbaik Keseluruhan PASTI Wangsa Maju 2017 yang disandang oleh adik Muhammad Afham bin Mohd Hanapi dari PASTI An-Najihah bagi kategori 6 tahun, sementara bagi 5 tahun adik Durratun Widad Bt Rohaizad daripada PASTI Darul Iqra’ dan 4 tahun adik Iman Baqir bin Mazizal Ezuan daripada PASTI An-Najihah.

Anugerah Mumtaz Pra Tahfiz pula dianugerahkan kepada adik Wan Ahmad Al-Baqir bin Wan Adam Al-Baqir dari PASTI An-Nahli 2.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Yang DiPertua PAS Kawasan Wangsa Maju, Tuan Haji Razali bin Tumirin.

“Guru-guru yang ikhlas mendidik mempunyai keberkatan dan hasilnya turut akan membantu anak-anak PASTI untuk terus cemerlang dan berakhlak mulia pada masa hadapan. Selamat maju jaya kepada PASTI Wangsa Maju yang akan membuka sebuah PASTI baru lagi bagi menampung permintaan ibubapa di sini.” katanya semasa merasmikan majlis konvokesyen tersebut.

Oleh: Muhamad Nur Azmi Yusof