Oleh : HABSAH ALI
INDERA MAHKOTA, 12 Apr ♦ Khatam al-Quran merupakan suatu ibadah yang menjadi tuntutan agama Islam yang digalakkan mengkhatamnya sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup muslim.
Pelbagai program dan inisiatif dianjurkan bagi bersahabat dan berdamping dengan al-Quran sepanjang bulan Ramadan.
Namun apa yang penting al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, tetapi perlulah difahami, dihayati dan diamalkan isi kandungannya dalam kehidupan seharian.
Ia juga menjadi satu kesinambungan bagi menjadikan amalan membaca al-Quran sebagai satu budaya, sekaligus menyanjungi dan memuliakan al-Quran itu sendiri.
Justru, Dewan Muslimat PAS Indera Mahkota (DMPIM) telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran Perdana di DUN Beserah dan DUN Semambu yang menjadi salah satu agenda tahunan DMPIM.
Naib Ketua DMPIM Salbiah Seeni Abdul telah merasmikan program tersebut di Masjid Panglima Perang Sungai Karang dan Masjid Ar-Ryyan Indera Mahkota 15 pada hujung minggu baru-baru ini secara berasingan.