Home Berita PAS Perlis

Majlis Khatam Al-Quran satukan PAS, UMNO, BERSATU

153
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

KANGAR, 8 Mei: Kehadiran tetamu daripada UMNO dan BERSATU ke Majlis Khatam Al-Quran dan Peringkat PAS Kawasan Kangar yang berlangsung semalam seakan memberi bayangan bahawa bibit penyatuan akan terus dipertahankan di negeri ini.

Hal yang demikian diakui oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Kangar, Yussaine Yahya yang turut menzahirkan rasa syukur beliau.

Menurutnya, perpaduan umat Islam di negeri ini akan terus diusahakan meskipun masih wujud ketidaktentuan dalam hubungan antara Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Kekuasaan umat Islam wajib dipertahankan dan kita (PAS, UMNO, BERSATU) parti yang mewakili umat Islam ini ni sama ada dalam PN mahupun MN, harus ingat, tidak ada siapa yang lebih atau kurang sesama kita.

“(Tetapi) kita ni miliki satu matlamat dan satu tujuan iaitu mempertahankan Islam.

“Maka kita pada hari ini berkumpul dalam satu program, dan bagi pihak PAS Kawasan Kangar, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada UMNO dan rakan-rakan kita daripada BERSATU atas kehadiran dan pertolongan dalam menjayakan program pada hari ini,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Seramai 256 orang peserta dan tetamu jemputan, hadir pada program tersebut yang diadakan di Markas Tarbiyah PAS Kawasan Kangar, dekat sini.

Mereka yang telah menjayakan acara khatam Al-Quran turut menerima cenderahati, sumbangan Yayasan Pok dan Kassim.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Arau, Dato’ Seri Shahidan Kassim, Ketua Wanita UMNO Perlis Datin Seri Shamsiah Md. Yasin, Ketua Wanita UMNO Bahagian Kangar, Azihani Dato’ Ali, Ketua BERSATU Bahagian Kangar, Abu Bakar Hamzah serta para pimpinan PAS, UMNO dan BERSATU Kangar.

Sementara itu, Shahidan ketika berucap merasmikan majlis tersebut, turut mengakui akan kepentingan ketiga-tiga parti untuk terus memperkukuh kerjasama di negeri ini.

Jelasnya, perpecahan umat Melayu-Islam yang telah berlaku selama ini ternyata telah memberi kerugian yang amat besar.

Justeru beliau menyeru umat Islam untuk terus memperbanyak doa bersempena dengan bulan Ramadan ini, agar ketiga-tiga parti dapat meneruskan kerjasama demi kesatuan umat Islam.

“Kita bersyukur tuan puan kerana UMNO, BERSATU dan PAS sudah berada di bawah satu bumbung (bekerjasama).

“Kita kena terus bersama, teruskan kerjasama dan bersatupadu (kerana pada akhirnya), kalau kita bersama, kita akan menang,” katanya.