Home Berita PAS Pulau Pinang

Majlis berbuka puasa menyatu-padukan parti-parti politik

185
SHARE

Kepala Batas, 1 Mei: Dalam usaha menjadi pendamai dan menyatu-padukan masyarakat di negeri ini, Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang (BPPNPP) telah menganjurkan majlis berbuka puasa bersama parti-parti politik di sini pada Sabtu, 1 Mei 2021 yang lalu.

Majlis Berbuka Puasa Bersama Yang Bahagia Tuan Guru Dato’ Haji Hashim bin Jasin, Mursyidul Am PAS ini telah berlangsung di Dewan Markaz PAS Negeri Pulau Pinang dengan mematuhi SOP-SOP yang telah digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Majlis ini dihadiri oleh parti-parti politik yang terdiri daripada Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Gerakan Rakyat Negeri (Gerakan), Malaysia Chinese Association (MCA), Parti Bersama Malaysia (MU), Parti Cinta Malaysia (PCM), dan Kongres Indian Muslim Malaysia Negeri Pulau Pinang (KIMMA).

Majlis turut meraikan kehadiran Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis, Yang Berhormat (YB) Cikgu Mohd Shukri Ramli serta semua ahli jawatankuasa BPPNPP serta wakil daripada dewan-dewan negeri turut hadir dalam memeriahkan majlis tersebut.

Majlis bermula dengan ucapan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi bin Yusoff yang mengucapkan terima kasih kepada semua hadirin yang sudi hadir dan berharap agar semua boleh saling bermaaf-maafan antara satu sama lain dalam usaha membentuk masyarakat yang bersatu-padu dan aman di negara ini.

Majlis disusuli dengan ucapan oleh Yang Bahagia Tuan Guru Dato’ Haji Hashim bin Jasin, Mursyidul Am PAS yang menghuraikan pengajaran daripada surah Al-Hujurat ayat 13 di mana manusia dijadikan berbilang kaum dan bangsa untuk saling berkenal-kenalan.

Dalam menghuraikan ayat ini, Tuan Guru menerangkan Allah mencipta manusia yang pelbagai kebolehan dan keistimewaan supaya manusia saling lengkap melengkapi.

”Ianya bermula dengan kenal-mengenal dan menjauhi sifat sombong dan bangga diri.”

Tuan guru mengajak hadirin supaya mempertautkan hati sesama kita kerana kita adalah dari asal yang sama.

Menurut Tuan Guru lagi, majlis berbuka puasa pertama yang disertai beliau yang mengumpul kepelbagaian kaum dianjur oleh Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz, mursyidul am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan pada ketika itu.

Majlis disambung dengan aktiviti bacaan doa oleh Yang Berhormat Ustaz Yusni bin Mat Piah sebelum kemuncak program iaitu aktiviti berbuka puasa bersama-sama dan disudahi dengan aktiviti solat Maghrib secara berjemaah bagi muslim.

Menurut pengarah program, saudara Iszuree Ibrahim, beliau bersyukur kerana majlis pertama yang dianjurkan ini selepas memegang Kerajaan Persekutuan telah berjaya menghimpunkan kepelbagaian parti dan berjalan dengan lancar.

Beliau yang juga setiausaha BPPNPP berharap program-program seperti ini akan dapat diteruskan pada masa hadapan dalam usaha menyatu-padukan ummah yang terdiri daripada kesatuan masyarakat Melayu beragama Islam dan kesatuan masyarakat majmuk di negara ini.