Oleh: Ibnu Sam
17 Februari 2023
TELUK INTAN: Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Al-Falah telah mengadakan Majlis Apresiasi yang penuh gilang gemilang di Kompleks PAS Teluk Intan (KOMPASTI), semalam.
Majlis tahunan sekolah itu bertujuan meraikan kejayaan 87 orang pelajar dalam menjawab ujian peperiksaan sekolah serta menyampaikan anugerah cemerlang dan tokoh terbaik.
Walaupun dilaksanakan pada hari bekerja, majlis itu tetap mendapat sambutan baik dalam kalangan ibu bapa dengan kehadiran melebihi 100 orang.
Penaung Jemaah Pengurusan Sekolah, Azhar Rafiei berkata dalam ucapannya, peringkat awal penubuhan SRITI di Teluk Intan dahulu cuma terdapat 7 orang anak murid.
“Berkat kesungguhan dan kegigihan Ahli Jawatankuasa Pengurusan SRITI, sekarang murid kita telah mencapai 87 orang setelah 4 tahun dan kini masuk tahun ke 5 sudah beroperasi.
“Terima kasih diucapkan kepada ibu bapa yang meletakkan kepercayaan kepada SRITI Al-Falah dalam memberi pendidikan yang berintegrasi berteraskan Islam kepada anak-anak,” katanya.
Menurut beliau, buat julung kalinya SRITI Al-Falah dapat mengadakan majlis ini diluar premis sekolah dengan sambutan yang menggalakkan.
“Ini semua adalah hasil usaha dan kerjasama erat antara pihak Jemaah Ibu Bapa SRITI (JIBS), guru dan kakitangan SRITI, Dewan Pemuda, Ameerah, Dewan Muslimat dan PAS Kawasan,” ujarnya lagi.
Tambah beliau, pihak pengurusan SRITI berhasrat untuk mewujudkan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) sebagai kesinambungan kepada SRITI setelah melihat sokongan dan kehendak daripada masyarakat yang sangat menggalakkan.
Selain penyampaian hadiah dan anugerah, majlis tersebut turut dimeriahkan dengan beberapa persembahan daripada kalangan pelajar.
Antaranya persembahan silat sebagai persembahan pertama menyambut kehadiran tetamu kehormat dan alunan bacaan ayat suci Al-Quran oleh Aiman Qalif yang dibimbing oleh Guru Besar SRITI Al-Falah, Mohd Mahyuddin Mohd Yusuf.
Selain itu, persembahan cilik pelajar tahun 1 dan 2 yang dibimbing oleh Farailya Mohamed Yusop dan persembahan nasyid sekolah yang dibimbing oleh Muhammad Nurhaqim Mohd Zamri turut mendapat perhatian hadirin.
Dalam majlis tersebut, Muhammad Aiman Qaliff Mohammad Fitri telah dinobatkan sebagai Tokoh Murabbi Al-Falah manakala Tokoh Sahsiah Rabbani telah dirangkul oleh Muhammad Ahsanuddin Abdul Razak daripada tahun 3 Al-Falah dan Nur Irdina Sofia Muhamad Hafiz darilada tahun 2 Al-Falah.