Home Berita PAS Terengganu

MAIDAM Sedia Bantu Anak-Anak GISB

9
SHARE

KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sedia menyalurkan bantuan dalam bentuk pendidikan dan kemahiran kepada  anak-anak yang diselamatkan dari premis dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISB).

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail menyatakan  bantuan selayaknya akan diberikan jika memenuhi kriteria yang ditetapkan MAIDAM untuk membantu mereka memulakan hidup baharu.

“Kalau anak-anak yang istimewa dan berkeperluan khas itu biasanya dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Namun, kita tak akan abaikan, kita boleh bekerjasama jika kanak-kanak ini termasuk dalam golongan asnaf.

“Apa yang penting ialah mereka perlu insaf dahulu dan kemudiannya kita pertimbangkan bantuan (pendidikan, kemahiran, perniagaan) agar mereka boleh berdikari semula,” katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di  Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Yayasan Islam Terengganu di Dewan AlFateh, Tingkat 4, Menara Yayasan Islam, di sini hari ini.

Sementara itu, premis perniagaan dipercayai milik Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di bandar raya ini telah ditutup sejak Jumaat lalu.

Premis itu membabitkan restoran di Jalan Sultan Zainal Abidin serta sebuah kedai bakeri di Wisma Khaleeda, Jalan Tengku Mohamad dekat Gong Badak, Kuala Nerus.

Tambah Shaikh Harun, hasil pemantauan yang dilakukan dengan Polis Diraja Malaysia mendapati tiada anak-anak pengikut GISB (yang terabai) berada di Terengganu.

“Semua premis yang dikaitkan dengan GISB di Terengganu kini telah dikosongkan dan hasil serbuan pihak berkuasa tidak menemui mana-mana individu di premis tersebut,” katanya.

Dalam masa sama, kerajaan negeri menunggu keputusan rasmi daripada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) sebelum memuktamadkan sebarang tindakan ke atas premis perniagaan milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).