KUALA TERENGGANU – MAIDAM menerusi anak syarikatnya, MAIDAM Property Sdn Bhd (MPSB) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Grand Gosh Group (M) Sdn Bhd dan Hong Leong MSIG Takaful Berhad (HLMT) bagi memperluaskan kerjasama dalam sektor perniagaan takaful.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata pihaknya berbesar hati menjadi tuan rumah pada majlis berkenaan.
“Langkah yang diambil oleh MAIDAM ini bertujuan bagi memberikan peluang kepada masyarakat Terengganu untuk memilih dengan bijak dalam mendapatkan perlindungan takaful yang terbaik.
“Malah, ia juga seiring dengan hasrat kerajaan negeri untuk memperbanyakkan produk yang mematuhi hukum syarak,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman MoU Perniagaan Takaful Antara Maidam Property SDN BHD, Grand Gosh (M) SDN BHD dan Hong Leong MSIG Takaful Berhad bertempat di Dewan Gamelan 3, Hotel Primula Beach Resort di sini semalam.
MoU ditandatangani oleh Pengurus Besar MPSB, Wan Farid Imran Wan A. Latif, bersama Ketua Pegawai Eksekutif Grand Gosh, Saiful Nizam Shaikh Aladdin, dan Ketua Pegawai Eksekutif HLMT, Mohd Asri Omar.
Majlis turut disaksikan oleh Yang Dipertua MAIDAM merangkap pengerusi Lembaga Pengarah MPSB serta turut dihadiri oleh Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi MPSB serta pegawai-pegawai daripada Grand Gosh dan HLMT.
Dengan termeterainya memorandum ini, MPSB akan menjalankan aktiviti perniagaan baharu iaitu dalam bidang takaful dan mengadakan kerjasama strategik dengan Grand Gosh dan HLMT.
Sekali gus, memperkenalkan, mempromosikan serta memasarkan pelan-pelan Takaful dari HLMT yang sedia ada antaranya i-Flexi Protect, i-Heritage Protector, i-Kudrat, i-Care Hasanah Privilege, i-AcciPlus atau pelan-pelan baharu yang akan dilancarkan oleh HLMT dari semasa ke semasa.
Tambah Shaikh Harun, pihaknya berharap supaya kolaborasi antara MPSB bersama Grand Gosh dan HLMT memberi manfaat yang besar untuk masyarakat Terengganu dan ia tidak terhenti hanya setakat produk Takaful semata-mata.
“Semoga selepas ini ada langkah-langkah susulan daripada kedua-dua pihak untuk mengadakan kolaborasi dalam skala yang lebih besar bagi kepentingan rakyat negeri ini,” ujarnya.