Home Berita PAS Terengganu

MAIDAM agih zakat melebihi pendapatan tahun lalu

22
SHARE

KUALA TERENGGANU – Agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berjumlah kira-kira RM232 juta melebihi pendapatan RM228,034,116 tahun lalu.

Yang Dipertua MAIDAM, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata sementara tahun ini pula MAIDAM menyasarkan pungutan sebanyak RM260 juta melebihi pencapaian pungutan tahun lalu sebanyak kira-kira RM30 juta.

“Haul (tempoh setahun) pungutan zakat dikira dari Januari hingga Disember setiap tahun namun  saya menyarankan agar umat Islam negeri Terengganu menjadikan  bulan Ramadhan (tahun hijrah) sebagai haul kerana ia lebih tepat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Seminar Kebangsaan ‘Scammer Islamic’: Wadah atau Padah di Pusat Konvensyen Duyong, Duyong Marina & Resort di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu Wan Abd Malek Wan Sidek, pegawai majlis agama Islam dan Adat Melayu serta pengamal undang-undang syarie seluruh negara.

Untuk rekod dari jumlah RM228,034,116 pungutan tersebut sebanyak RM123,542,724  diagih kepada asnaf miskin, RM34,083,999 (fisabilillah), RM32,443,225 (amil), RM23,719,554 (fakir) RM7,615,254 (muallaf), RM6,327,860,  (Al Gharimin), dan RM301,500 (Al Riqab).

Tiada agihan dibuat untuk ibnu sabil tahun lalu dan tahun sebelumnya.