KUALA TERENGGANU – Persidangan East Coast Energy (ECE) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini ternyata memberi impak besar kepada mahasiswa dan mahasiswi Terengganu.
Ia susulan Terengganu kini berada di landasan tepat untuk muncul sebagai negeri peneraju dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui negara.
Rata-rata pelajar yang ditemui pada hari kedua penganjuran persidangan yang menghimpunkan lebih 1,000 perwakilan termasuk pembuat dasar, pemimpin industri tenaga, pelabur dan inovator dari dalam dan luar negara itu amat berpuas hati dengan apa yang ditawarkan pada persidangan berkenaan.
Pelajar tahun akhir Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Zakwan M. Fadhli yang mengikuti Program Pemimpin Muda sempena persidangan tersebut berkata, ECE 2025 membuka ruang dan peluang kepada mereka untuk lebih memahami tentang industri tenaga di Pantai Timur.
“Program ini sangat bagus untuk pelajar, selain didedahkan dengan pelbagai ilmu tentang teknologi baru ia turut memberi kami maklumat yang lebih mendalam tentang keperluan industri untuk menghadapi dunia pekerjaan selepas ini,” ujarnya kepada pemberita.
Dalam pada itu, beliau turut menyokong ucapan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sempena majlis perasmian program berkenaan yang ada menyatakan bahawa Terengganu tidak perlu mengharapkan seratus peratus kepada sumber petroleum.
“Sebaliknya perlu menjana pendapatan baharu bagi menyaksikan negeri kita muncul sebagai peneraju dalam transformasi tenaga bersih berasaskan inovasi, daya tahan dan pemerkasaan serantau,” ujarnya.
Malah katanya, Terengganu mempunyai potensi yang cukup besar untuk melangkah lebih jauh sebagai peneraju utama dalam pembangunan sumber tenaga hijau negara.
“Contoh terbaik yang Petronas sedang hasilkan sekarang ini iaitu teknologi hidrogen.
“Justeru, dengan adanya sumber tenaga baharu ia memberi harapan kepada negeri kita untuk lebih maju tanpa bergantung kepada hasil petroleum,” ujarnya.
Sementara itu rakannya, Nurul Alya Farhana Nasruddin dan Nurul Hidayah Ekasah turut menyokong pandangan Zakwan.
Katanya, selain industri tenaga, persidangan berkenaan turut mendedahkan mereka dengan Teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin popular.
“Bagi kami, sebagai pelajar kita wajar dikuasai AI kerana kita boleh mengaplikasikannya semasa belajar malah boleh menjadikan bidang tersebut sebagai haluan kerjaya,” ujarnya.