Home Berita PAS Terengganu

Mahasiswa perlu bebas dari kongkongan politik – Muhammad Khalil

25
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu menyatakan pendirian tegas untuk membela kebebasan mahasiswa selepas pembatalan Majlis Perasmian Penutup Islamic Youth Leadership Conference 2024 oleh pihak penganjur, Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, menzahirkan rasa simpati terhadap situasi tersebut, menyifatkan tindakan tersebut sebagai langkah ke belakang yang mengekang kebebasan intelektual golongan mahasiswa.

“Mahasiswa adalah kumpulan terpilih dalam masyarakat, mereka memiliki daya intelektual yang tinggi dan seharusnya diberi ruang bebas untuk berkembang.

“Malangnya, apa yang berlaku menunjukkan satu tindakan tidak demokratis dan bercanggah dengan semangat politik matang serta terbuka,” katanya ketika mengulas tentang permohonan maaf dari pihak UniSZA.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Muhammad Khalil menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa menyokong program yang merangsang pemikiran kritis mahasiswa.

“Langkah-langkah yang menyekat mereka daripada mendengar pandangan berbeza, hanya akan merencatkan pembangunan intelektual golongan muda ini.

“Kita mahu mahasiswa diberi kebebasan untuk mendengar dan menilai pelbagai pandangan, tidak kira daripada mana-mana pihak.

“Mahasiswa perlu menjadi generasi yang berani bersuara untuk kebenaran, kerana hanya melalui cara itu mereka mampu menyumbang kepada kemajuan negeri dan negara,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Terengganu turut mengkritik tindakan kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat mengongkong mahasiswa daripada mengadakan program-program ilmiah yang membuka minda.

Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk turut menyifatkan pendekatan mengongkong kebebasan mahasiswa sebagai tindakan tidak bertamadun dan bersifat dendam politik.

“Politik hari ini seharusnya bergerak ke hadapan, lebih terbuka, dan matang.

“Namun, apa yang kita lihat adalah politik lama yang bersifat kolot, yang cuba menyekat ruang intelektual mahasiswa, ini amat menduka citakan,” ujarnya dengan penuh kecewa sambil menyeru pihak Kerajaan Madani agar mengutamakan nilai demokrasi dan membuka ruang kebebasan berfikir kepada mahasiswa, tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Beliau mengakhiri kenyataannya dengan menekankan komitmen kerajaan negeri dalam mendukung golongan mahasiswa untuk menjadi agen perubahan yang mampu membawa idea-idea segar demi masa depan yang lebih gemilang.

“Kami di pihak kerajaan negeri amat menyokong segala usaha untuk memperkasakan minda mahasiswa.

“Mereka adalah aset berharga negeri ini, jangan sesekali belenggu mereka dengan sekatan yang tidak perlu,” tambahnya.