KUALA TERENGGANU – Beberapa daerah di Terengganu dan Pahang dijangka mengalami hujan lebat berterusan peringkat jingga sehingga Rabu ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, dua daerah di Terengganu iaitu di Dungun dan Kemaman dijangka mengalami hujan berterusan.
“Selain itu, lima daerah di Pahang iaitu Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin turut dijangka mengalami cuaca sama.
“Hujan berterusan peringkat kuning juga dijangka berlaku di Perlis, Kelantan dan Hulu Perak, Perak,” katanya.
Sementara itu, hujan berterusan peringkat kuning juga dijangka berlaku di Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang.
Selain itu, cuaca sama dijangka berlaku, manakala di Pahang, ia membabitkan daerah Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Bera serta Tanah Tinggi Cameron.
Menurutnya, di Kedah membabitkan daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling.
“Manakala di Johor iaitu daerah Segamat, Mersing dan Kota Tinggi turut diramal cuaca sama,” katanya.
Terdahulu, MetMalaysia melaporkan luruan angin sejuk atau luruan monsun yang berpotensi membawa hujan lebat berpanjangan dan mencetuskan gelombang kedua banjir dijangka melanda negara mulai hari ini hingga 14 Disember ini.