Home Berita PAS Terengganu

Lumba perahu panjang berpotensi tarik pelancong, lonjak ekonomi tempatan

10
SHARE

KUALA TERENGGANU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim, mencadangkan penganjuran kejohanan lumba perahu panjang sebagai salah satu aktiviti sukan air tahunan di Terengganu.

Cadangan itu dikemukakan beliau semasa membahaskan Belanjawan Terengganu 2024 di Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15, di Wisma Darul Iman, semalam.

Beliau terlebih dahulu mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri atas kejayaan mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pilihan utama pelancong domestik melalui pelbagai aktiviti menarik yang disusun sepanjang tahun.

Menurutnya, usaha tersebut telah berjaya memastikan negeri itu terus relevan sebagai lokasi pelancongan.

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada Kerajaan Negeri, melalui portfolio Jawatankuasa Pelancongan, yang merupakan ADUN Kijal, Datuk Razali Idris dan jabatan-jabatan, serta agensi-agensi yang terlibat, hasil kerja keras mereka, Terengganu kini menjadi destinasi pilihan pelancong,” katanya.

ADUN Buluh Gading itu mencadangkan Sungai Nerus sebagai lokasi utama penganjuran kejohanan lumba perahu panjang.

“Kawasan DUN Buluh Gading, bersedia menjadi tuan rumah bagi menjayakan acara ini, seiring dengan pengalaman mereka menganjurkan program serupa sebelum ini.

“Pertandingan lumba perahu panjang mampu menarik perhatian pelancong, dengan aktiviti sampingan yang sesuai, ia boleh menjadi tarikan utama,” jelasnya.

Tambah beliau, program terdahulu yang telah dianjurkan di kawasan itu ialah Kejohanan Perahu Naga Beautiful Terengganu 2022, yang berlangsung pada 29 dan 30 Julai 2022 di Jeti Pengkalan Perahu Kampung Buluh Gading.

“Acara tersebut berjaya menarik penyertaan dari dalam dan luar negeri, termasuk pasukan dari Pulau Pinang, Perbadanan Putrajaya, UniSHAMS Kedah, pasukan SUKMA Perak dan beberapa pasukan lain lagi.

“Yang terdekat, Festival Monsoon Challenge Perahu Panjang Tanjung Sabtu 2024 akan diadakan pada 29 hingga 30 November ini. Ia bertujuan merebut gelaran Raja Monsoon,” katanya lagi, merujuk kepada acara yang akan berlangsung di Jeti Tanjung Sabtu.

Dalam pada itu, Ridzuan yakin penganjuran sukan air berskala besar seperti ini akan memberi impak positif kepada ekonomi penduduk tempatan.

“Aktiviti seperti gerai jualan dan perkhidmatan sokongan lain sepanjang acara dapat menyediakan peluang pendapatan tambahan.

“Jika acara ini diperluaskan, penyertaan dari dalam dan luar negeri pasti akan memeriahkan lagi industri pelancongan kita. Kesannya, penduduk setempat dapat meraih manfaat melalui aktiviti ekonomi sampingan,” katanya.

Ridzuan berharap cadangan ini mendapat pertimbangan Kerajaan Negeri, demi memanfaatkan potensi besar sektor pelancongan sukan air di Terengganu.