KEMAMAN – Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Aiman Rosli hampir membuat kejutan apabila mendahului sebahagian besar Perlumbaan pada saingan peringkat empat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025.
Nur Aiman walaupun terpaksa akur menamatkan perlumbaan di tempat ke-110 daripada 118 pelumba apabila ditewaskan kelompok utama yang pada awalanya mendahului sehingga tiga kilometer terakhir.
Aiman untuk edisi pada kali ini telah dinobatkan sebagai peserta paling menyerlah hasil aksi penuh berani yang dipamerkan sejauh 141.5 Kilometer (KM) dari Kuala Terengganu ke Kemaman, hari ini.
Katanya, kejayaan menguasai sebahagian besar perlumbaan pada hari ini merupakan strategi yang diatur dari awal untuk melepaskannya dalam kelompok ‘breakaway’.
“Saya berjaya kutip dua mata penuh di zon pecutan, memenangi zon pendakian di Kijal dan akhirnya dapat gelaran pelumba paling menyerlah, jadi bagi saya tugasan saya hari ini sudah selesai,” katanya, ketika ditemui pihak media, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Nur Aiman berkata dia juga berusaha keras untuk melepasi zon pendakian terakhir di Kijal.
“Malangnya hajat nak menang belum kesampaian, tapi saya puas hati dapat memcuba,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya dia tidak berputus asa tetap mengintai peluang untuk cabaran yang masih berbaki empat peringkat lagi dan menyasarkan untuk kembali mencabar di peringkat ketujuh dari Melaka ke Medini.
“Itu laluan laju (pecutan) dari awal, memang sesuai dengan cara saya. Insya-Allah jika ada peluang saya akan cuba lagi.
“Mengenai cabaran Bukit Fraser itu merupakan medan untuk pendaki, kalau saya boleh terlepas dalam ‘breakaway’, saya cuba. Kalau tidak, kita serah kepada pakar pendakian TSG,” ujarnya lagi.