Home Berita PAS Terengganu

LPT3 ‘Hilang’, KDNK Diturunkan : RMK-13 Rencatkan Pembangunan Terengganu

4
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu mendesak Kerajaan Persekutuan menunjukkan komitmen sebenar untuk membawa masuk program dan projek berimpak tinggi ke negeri ini, termasuk pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3), bagi merancakkan pembangunan ekonomi Pantai Timur.

Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, selepas meneliti dokumen utama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), beliau mendapati Terengganu hanya terlibat dalam enam strategi daripada keseluruhan 122 strategi, berbanding asas kukuh yang telah diletakkan menerusi RMK-12 sebelum ini.

“Apa yang kita harapkan ialah pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) sebagai projek infrastruktur berimpak tinggi dan pemacu utama (key enabler) pembangunan Terengganu, sekali gus melonjakkan pertumbuhan ekonomi negeri dan wilayah Pantai Timur.

“Dalam RMK-12, kerja awalan seperti siasatan, kerja ukur tanah dan penilaian impak trafik telah pun dimulakan serta disiapkan pada akhir tahun 2022.

“Namun, pada Februari lalu, Kerajaan Persekutuan hanya memaklumkan bahawa mereka masih meneliti jajaran serta pendekatan pembangunan projek tersebut,” ujarnya dalam ucapan perbahasan RMK-13 di Sidang Parlimen, hari ini.

Kekecewaan ini bertambah apabila projek LPT3 yang menghubungkan Gemuroh, Terengganu ke Kelantan tidak tersenarai dalam senarai projek infrastruktur utama yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu turut mempersoalkan sasaran purata kadar pertumbuhan tahunan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Terengganu dalam RMK-13 yang diturunkan kepada 4.8 peratus, berbanding 6.0 peratus dalam Kajian Separuh Penggal RMK-12 dan 6.6 peratus dalam RMK-12 asal.

Selain LPT3, Kerajaan Negeri masih menunggu pengumuman pelaksanaan Economic Accelerator Project (EAP) di sepanjang jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang merangkumi enam pembangunan berorientasikan transit (TOD), empat taman perindustrian serta satu hab logistik di Terengganu.