Home Berita PAS Pahang

Longkang lama masalah lama – Jabatan Amal dan PAS Cawangan SKP mendapat perhatian

9
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

KUANTAN, 24 Nov – Longkang lama, masalah lama telah mendapat perhatian masyarakat apabila Anggota Jabatan Amal Kawasan Indera Mahkota dan PAS Cawangan Sungai Karang Pantai telah turun bergotong-royong bagi melancarkan aliran air di kawasan berkenaan, kata ADN Beserah YB Dato’ Andansura Rabu melalui kenyataan di laman sosialnya, hari ini.

“Longkang berhampiran simpang Pinang Sebatang itu sudah sekian lama tidak diurus dengan baik sehingga dipenuhi semak samun dan mengakibatkan aliran air tersekat.

“Keadaan tersebut menyebabkan air melimpah masuk ke rumah penduduk, sekali gus mencetuskan keresahan kepada mereka yang telah beberapa kali membuat aduan.

“Penduduk sudah banyak kali melaporkan masalah ini dan pihak saya sendiri turut mengemukakan aduan, namun tiada tindakan sewajarnya diambil,” tambah beliau.

Beliau memuji keprihatinan dan komitmen  anggota Jabatan Amal Kawasan Indera Mahkota dan PAS Cawangan Sungai Karang Pantai yang turun membersihkan longkang tersebut pagi semalam.

“Saya sangat menghargai kesediaan mereka berkorban masa dan tenaga demi kepentingan masyarakat. Semoga Allah mempermudahkan urusan mereka sebagai balasan memudahkan kesulitan orang lain,” ujarnya.

Beliau yang juga sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang berharap agar semua pihak, termasuk agensi berkaitan, lebih peka dengan isu penyelenggaraan awam demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan penduduk.

“Mudah-mudahan kita semua diberi kesedaran dan dirahmati Allah,” tambah Andansura Rabu lagi.