KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri sedang memperkemas prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani kemungkinan kes kecurian sumber hutan dan pemburuan haram apabila perlombongan unsur nadir bumi (REE) di negeri ini bermula kelak.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato’ Razali Idris berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku pencerobohan susulan adanya akses jalan ke lokasi perlombongan.
“Ketika ini projek perlombongan REE di negeri ini masih di peringkat eksplorasi serta persampelan.
“Jadi ada kebarangkalian (pencerobohan) apabila dah ada akses jalan ke kawasan perlombongan, pemburu atau pembalak haram boleh masuk,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Beautiful Terengganu Malaysia 2024/2025 dan Pelancaran Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan serta Pelancaran Lagu Tranung Dok Rilek di Mayang Mall, hari ini.
Bagaimanapun tegas beliau, setakat ini tiada kes pencerobohan hutan dan pemburuan haram dilaporkan berlaku.
Mengulas lanjut katanya, kerajaan tidak bercadang menubuhkan jawatankuasa khas baru, sebaliknya jawatankuasa khas sedia ada akan diperkemas dan ditingkatkan apabila perlombongan REE mula beroperasi.
“Jawatankuasa khas dianggotai Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sudah diwujudkan bertujuan mengaktifkan kekerapan rondaan, termasuk di kawasan perlombongan REE.
“Kita sudah mempunyai maklumat jumlah keseluruhan harimau dan gajah yang berada di hutan simpan di negeri ini dan jika berlaku kehilangan, tindakan mengesan akan segera dilakukan,” katanya.