KUALA TERENGGANU – Kerajaan PAS Negeri Terengganu meluluskan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) dan Sistem Agihan Daerah Marang (Fasa 1) bernilai RM500 juta yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2029 bagi meningkatkan keupayaan bekalan air bersih kepada penduduk daerah itu.
Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Dato’ Haji Hanafiah Mat, berkata kerajaan telah mengambil langkah proaktif dengan melantik Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Terengganu sebagai pegawai penguasa projek hasil keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bertarikh 21 Mei 2025.
Menurutnya, Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) dan Jabatan Bekalan Air Negeri Terengganu (JBA) kini dalam proses penyediaan dokumen bagi pelaksanaan Makmal Pengurusan Nilai (Value Management – VM) yang akan dikendalikan oleh pihak JKR bagi memperincikan skop kerja dan kos sebenar projek.
“Projek ini membabitkan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM500 juta, meliputi pembinaan muka sauk, paip air mentah, sistem Off River Storage (ORS), loji rawatan air, tangki imbangan dan paip air terawat bagi kawasan koridor barat,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, YB Sulaiman Sulong pada Sidang DUN Terengganu di Wisma Darul Iman, semalam.
Tambah beliau, selepas makmal VM selesai dan laporan disahkan, fasa reka bentuk dan tender akan dilaksanakan menjelang pertengahan tahun 2026, manakala kerja pembinaan fizikal di tapak dijangka bermula suku keempat tahun 2026 dengan tempoh pembinaan selama tiga tahun.
“Apabila siap sepenuhnya kelak, projek ini akan memberi manfaat besar kepada penduduk Marang melalui peningkatan kapasiti rawatan air bersih serta sistem agihan yang lebih efisien, seterusnya mengurangkan masalah tekanan air rendah yang sering dihadapi sebelum ini,” ujarnya.





