KUALA TERENGGANU – TDM Berhad memperkukuh langkahnya ke arah tenaga mampan apabila dua loji biogas miliknya berjaya menjana hampir 19 juta kWh tenaga hijau sepanjang tahun 2024, sekaligus menyumbang kepada grid nasional dan menyokong agenda sifar karbon negara.
Pengerusi TDM Berhad, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, pencapaian ini adalah bukti nyata bahawa pelaburan TDM dalam teknologi tenaga boleh diperbaharui bukan hanya bersifat simbolik, malah memberi impak sebenar kepada alam sekitar dan ekonomi negara.
“Sepanjang tahun 2024, sejumlah 18,868,173 kilowatt-jam (kWh) tenaga boleh diperbaharui berjaya dijana dan disalurkan ke grid nasional,” katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-60 di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun
Beliau turut menjelaskan bahawa peningkatan sebanyak 5 peratus berbanding tahun sebelumnya merupakan petunjuk jelas terhadap kecekapan operasi dan keupayaan loji tersebut dalam memenuhi sasaran kelestarian jangka panjang syarikat.
“Kita sedang memacu perubahan, daripada loji yang dulu hanya memproses sisa, kini menjadi sumber tenaga hijau yang menyumbang kepada sistem tenaga negara,” jelasnya.
Tambah beliau, loji biogas TDM yang beroperasi di Sungai Tong dan Kemaman dibangunkan sebagai sebahagian daripada strategi hijau TDM yang turut merangkumi penggunaan panel solar, sistem HVAC cekap tenaga dan projek dandang hijau (green boiler).
Kejayaan ini sekaligus menyokong sasaran TDM untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 30 peratus menjelang 2030 serta mencapai sifar bersih pelepasan karbon menjelang 2050.
Menurut beliau, TDM akan terus meningkatkan kapasiti tenaga bersih dengan pelaburan tambahan dalam teknologi hijau dan memperluaskan skop tenaga boleh diperbaharui di ladang-ladang miliknya.