Home Berita PAS Terengganu

Lockdown : 32 dun Terengganu terima peruntukan RM200,000

152
SHARE

KUALA TERENGGANU, 2 Jun – Kerajaan Terengganu bersetuju untuk menyalurkan peruntukan RM200,000 kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam menghadapi pelaksanaan ‘total lockdown’ dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, merasakan penguatkuasaan ‘total lockdown’ mungkin berlanjutan, pihaknya melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini memutuskan untuk melancarkan program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu 3.0 (BERKAT 3.0).

“Oleh itu, bantuan secara bersasar yang berjumlah RM200,000 akan diagih kepada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Ini meliputi 32 DUN dengan jumlah keseluruhan RM6,400,000 yang akan diagihkan secara dua fasa,” katanya ketika melancarkan BERKAT 3.0 hari ini.

Dalam kenyataan sama, Ahmad Samsuri menyeru agar semua rakyat Terengganu bersatu hati dalam tempoh yang kritikal ini.

“Setiap langkah dan pematuhan arahan dan SOP amatlah signifikan untuk mengatasi pandemik COVID-19 yang semakin serius. Pastikan mendaftar vaksin dalam Program Imunisasi Negara.

“Akhirnya, jangan lupa jadikan doa dan munajat dalam rutin kita setiap hari. Sayangi nyawa keluarga anda dan hargailah petugas barisan hadapan yang masih belum berhenti berjuang sejak lebih setahun yang lalu,” katanya.