Oleh : HABSAH ALI
KUANTAN, 12 Okt – Bidang kebajikan adalah tugas besar yang merentasi semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang, tegas Ahli Dewan Negeri Beserah YB Dato’ Andansura Rabu, dalam program Bengkel Asas Bimbingan Aktivis Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial (LKKS) di Balok, semalam.
“Bila sebut kebajikan, ia besar, merangkumi semua pihak, semua segmen, rentas kaum dan latar belakang. Maka kerja kita ni besar, menjaga dan menggerakkan aktiviti kebajikan seluruh masyarakat tanpa mengira warna kulit,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan aktivis kebajikan memahami ruang tanggungjawab agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), PERKESO, MySalam, dan PEKA B40, agar bantuan dapat disalurkan secara menyeluruh dan berkesan.
Menurut beliau, aktivis kebajikan perlu proaktif membantu rakyat yang terjejas, termasuk mengingatkan penerima bantuan agar memperbaharui permohonan tahunan serta memastikan mereka layak mendapat perlindungan kesihatan yang disediakan oleh kerajaan.
“Kita pergi ziarah bukan sekadar bertanya khabar, tetapi bantu mereka mohon bantuan yang ada. Pastikan juga mereka yang layak dilindungi oleh skim MySalam dan PEKA B40,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota, Salawati Saleh, dalam ucapan alu-aluannya menegaskan bahawa setiap aktiviti ziarah perlu disusun dengan perancangan dan agihan tugas yang jelas, agar perjalanan ziarah berjalan lancar dan berkesan.
Justru, beliau mengharapkan program ini dapat melahirkan lebih ramai aktivis muslimat yang bukan sahaja memahami keperluan masyarakat, tetapi mampu menyantuni mereka dengan hikmah, kasih dan nilai Islam yang sejati.
Bengkel anjuran LKKS Dewan Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota dengan kerjasama Lajnah Dakwah dan Skuad Sihat itu telah dirasmikan oleh YB Dato’ Haji Andansura Rabu, dan dihadiri para aktivis kebajikan yang komited memperkasa peranan mereka sebagai ejen kebajikan masyarakat.
Antara pengisian utama bengkel termasuk persiapan sebelum ziarah, bimbingan praktikal wuduk dan solat bagi pesakit, panduan asas kebersihan dan pemantapan pesakit, serta taklimat rujukan bantuan dan dokumen penting bagi urusan kebajikan.