Home Berita PAS Sabah

LKKPS anjur Misi Kebajikan dan Dakwah santuni keluarga asnaf daerah Paitan

23
SHARE

Oleh: Aizal Samsaruddin
28 Ogos 2023

SANDAKAN: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Negeri Sabah (LKKPS) telah menganjurkan Misi Kebajikan dan Dakwah di daerah Paitan, Beluran pada Sabtu dan ahad lepas.

Program selama dua hari itu bertujuan untuk menyantuni masyarakat Paitan yang kurang berkemampuan, mualaf dan anak yatim.

Timbalan Pengerusi 1 LKKPS, Nur Izzati Yusof berkata, selain program utama menyampaikan sumbangan turut diselitkan aktiviti dakwah seperti kuliah agama, pertandingan azan serta mewarna bagi kanak-kanak.

“Penganjuran aktiviti-aktiviti ini adalah untuk mengeratkan lagi silaturrahim bersama penduduk kampung dan beramah mesra dengan anak-anak mereka,” jelasnya ketika dihubungi pemberita.

60 pek barangan dapur telah diagihkan kepada 60 buah keluarga di sekitar Kampung Simpangan, Dalamas, Tebatu, Kampung Kumbangan, Kampung Sokoon, Kampung Kabuluh dan Kampung Berangai.

Turut diagihkan sumbangan kerusi roda kepada Siti Jala, 66 tahun seorang OKU yang mengalami masalah penglihatan.

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh LKKPS dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Sabah Relief.

“Selain barangan dapur kami juga telah menyerahkan sumbangan sejadah masjid untuk kegunaan Masjid Al-Ihsan Kampung Simpangan,” ujar Nur Izzati.

“Terima kasih tidak terhingga kepada semua penyumbang yang telah berkongsi rezeki untuk masyarakat Kampung di daerah Paitan ini. Semoga dengan misi ini dapat memberi manfaat kepada penduduk dan masyarakat setempat,” tambahnya lagi.

Hadir sama, Mustaqim Aling, Ketua Sekretariat LKKPS, Tarmizi Yahya, Timbalan Pengerusi Sabah Relief, serta beberapa pimpinan masyarakat Kampung.