Oleh : Syahida Mohd
Kuala Lumpur – Seramai lima orang pemain hoki remaja kelahiran Terengganu terpilih untuk mewakili Malaysia ke Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja 2025, sekali gus mengharumkan nama negeri di pentas antarabangsa.
Tiga pemain wanita Terengganu iaitu Siti Nur Irdina Mohd Nor, Noor Asyiqin Syakirah Noor Hisham dan Nor Zulaikha Nazihah Tamjit bakal beraksi di Santiago, Chile dari 1 hingga 13 Disember 2025.
Manakala, dua pemain lelaki iaitu Muhammad Addy Jazmi Jamlus, dan Muhammad Aqil Danial Mat Ruslee akan menyertai kejohanan di Tamil Nadu, India dari 28 November hingga 10 Disember 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan & NGO Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kejayaan itu merupakan satu kebanggaan kerana dapat membawa nama Malaysia ke pentas dunia.“Bagi pihak kerajaan Negeri, kita ucapkan tahniah kepada pemain-pemain yang berjaya terpilih,” katanya ketika ditemui dalam satu majlis ringkas penyampaian insentif kepada pemain terpilih di Bukit Jalil, baru-baru ini.

Tambah Hishamuddin, penyerahan insentif kepada wakil pemain yang diadakan adalah sebagai dorongan kepada para pemain sebelum mereka berlepas ke kejohanan.
“Bagaimana kita boleh berdaya saing dengan kesemua pemain adalah bergantung kepada semangat selain dari skill dan kemahiran yang telah sedia ada kerana tanpa semangat, seorang pemain akan sukar untuk ke peringkat yang lebih jauh,” katanya.






