Home Berita PAS Perak

Lestari bumi dengan kitar semula barangan lama

19
SHARE

20 September 2024

Oleh: Nur Asilah Noor

TELUK INTAN: Inisiatif Lajnah Alam Sekitar dan Asas Tani (LATAS) Muslimat Teluk Intan menganjurkan program pengumpulan barangan terpakai bertempat di Kompleks PAS Teluk Intan (KOMPASTI) menarik banyak penyertaan di sini, semalam.

Program tahunan seumpama ini memang sentiasa dinantikan masyarakat sekitar yang mengutamakan kelestarian bumi sekaligus memanfaatkan ruang kebersihan dan keindahan alam semulajadi.

Menurut Pengarah Program, merangkap Pengerusi Lajnah Alam Sekitar dan Asas Tani Siti Aminah Jamhari berkata, (walaupun) iklan dilancarkan pada 17 dan 18 September sahaja (namun) orang ramai telah mula menghantar barangan seawal dua hari sebelum tarikh yang ditetapkan.

Program yang dirancang bersempena dengan cuti persekolahan penggal ke dua ini mengajak masyarakat setempat bersedia lebih awal untuk mengumpul barangan terpakai sebelum merancang percutian mereka.

Barangan terpakai yang dilabelkan berupa pakaian, beg-beg lama, kasut, langsir serta selimut dikumpulkan bermula pagi hari pertama sehingga 5.30 petang selama dua hari.

Pihak penganjur telah menghubungi sebuah lori bermuatan 12 tan pada jam 8.30 pagi pada hari terakhir bagi membawa barangan ke Pelabuhan Klang untuk proses kitar semula.

Seramai kira-kira 30 petugas terdiri dari Jabatan Unit Amal, Dewan Pemuda serta Jawatankuasa Muslimat berjaya mengangkat serta memunggah barangan ke dalam lori dalam tempoh masa hampir 4 jam.

Turut hadir, Ketua Muslimat, Robi’aton Mohd Abas, Timbalan Ketua Muslimat, Hamisah Abas serta ahli jawatankuasa yang lain.