Home Berita PAS Terengganu

Lesen perniagaan vape tidak akan diluluskan

22
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu mengambil pendirian tegas dalam menangani isu penggunaan vape atau rokok elektronik dengan tidak meluluskan sebarang lesen perniagaan vape di seluruh kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, keputusan itu dibuat susulan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan vape khususnya dalam kalangan remaja dan golongan dewasa muda, yang kini dilihat sebagai satu ancaman serius kepada kesihatan awam.

“Mengekalkan pelaksanaan semasa dengan tidak meluluskan lesen perniagaan kepada semua premis perniagaan produk rokok elektronik atau vape dan pada masa hadapan selaras dengan Undang-Undang Kecil yang berkuatkuasa di PBT masing-masing.

“Jika perniagaan masih dibuka dan beroperasi tanpa lesen diberikan, PBT akan menguatkuasakan undang-undang dengan menyita dan merampas barang-barang yang dijual serta apa jua penguatkuasaan selaras dengan undang-undang kecil peraturan berkuatkuasa termasuk mengenakan kompaun dan denda,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Berdasarkan kajian Tobacco and E-Cigarette Survey Among Adolescent (TECMA) 2016 dan Kajian Kesihatan Remaja (ADH) 2017, walaupun terdapat penurunan kadar merokok dalam kalangan remaja, penggunaan vape dalam kalangan remaja perempuan meningkat dua kali ganda – dari 2.6% kepada 5.3%.

“Masalah ini menjadi semakin serius apabila penggunaan vape turut berkembang dalam kalangan individu berumur 20 hingga 49 tahun, iaitu golongan paling produktif dalam masyarakat.

“Keadaan ini menggagalkan usaha mengurangkan kadar merokok secara keseluruhan dan menimbulkan kebimbangan terhadap kesan jangka panjang terhadap kesihatan serta ekonomi negara,” tambah Wan Sukairi lagi.