Home Berita PAS Terengganu

Lebih 70,000 meriahkan HPPNT

19
SHARE

SETIU – Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Terengganu (HPPNT) dan Himpunan Lembu Sado Pantai Timur (HLSPT) 2024 mendapat sambutan yang luar biasa dengan kehadiran pengunjung lebih dari 70,000 dengan menghasilkan jumlah jualan luar jangkaan iaitu mencecah RM702.433.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, rata-rata orang ramai menilai penganjuran program kali ini sebagai yang paling berjaya.

Katanya, secara peribadi beliau meletakkan jumlah kehadiran adalah lebih daripada apa yang direkodkan.

“Kerana Dataran Pekan Jabi ialah sebuah kawasan terbuka di mana pengunjung boleh masuk dari segenap penjuru begitu juga dengan hasil jualan diyakini ia lebih tinggi.

“Itu tidak termasuk lagi impak secara umum, di mana kawasan sekitarnya turut merasa limpahan ekonomi hasil daripada ramai yang datang berkunjung melibatkan perniagaan rumah inap, hotel, kedai sate, stesen minyak, kedai runcit dan gerai-gerai tepi jalan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Perasmian Penutup HPPNT & HLSPT, di Dataran Pekan Jabi, di sini, semalam.

Mengulas lebih lanjut Dr Azman berkata pihaknya sangat bersyukur atas kejayaan program yang diadakan selama empat hari tiga malam itu.

“Apa yang kita rancang berjalan mengikut landasan yang betul dan insya-Allah pada tahun-tahun akan datang kita cuba perbaiki lagi beberapa kelemahan dan kekurangan yang ada untuk kita persembahkan apa yang terbaik untuk rakyat.

“Di sini adalah medan untuk berjumpa dengan semua pemain dari semua sektor yang berada di bawah pertanian, penternakan, perikanan dan juga asas tani untuk sama-sama berbincang dan berkongsi idea dalam memajukan lagi sektor ini,” ujarnya.