Home Berita PAS Terengganu

Lebih 3,000 hadir Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Langkap

50
SHARE

KUALA TERENGGANU – Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap mencatat kehadiran luar biasa apabila lebih 3,000 orang hadir memeriahkan sambutan.

ADUN Langkap, Azmi Maarof berkata, sambutan yang diterima amat membanggakan dan menunjukkan kesatuan erat dalam kalangan masyarakat.

“Alhamdulillah, sambutan masyarakat sangat baik.

“Majlis ini berjaya mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), beliawanis, pemuda, Dewan Muslimat serta Jabatan Amal,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Azmi menambah, majlis bermula jam 10.30 pagi hingga 2.30 petang itu berlangsung dengan penuh meriah dan teratur, menampilkan pelbagai juadah tradisional serta hidangan utama seperti gulai yang dimasak dalam tujuh kawah, hasil kerjasama antara JPKK di seluruh DUN Langkap.

Menurut Azmi, penganjuran majlis seumpama ini bukan sahaja menjadi wadah untuk bermaaf-maafan dan menjalin silaturahim, malah membuka ruang kepada pemimpin untuk lebih dekat dengan masyarakat setempat.

Dalam pada itu, ketika ditanya, beliau turut menyentuh tentang perancangan jangka panjang untuk membangunkan DUN Langkap, yang berasaskan sektor pertanian dan eko-pelancongan.

“Kita melihat potensi besar dalam sektor pelancongan semula jadi seperti Lata Ulu Kasar dan Lata Payong.

“Ini mampu menjana pendapatan penduduk jika dibangunkan secara terancang,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga disaran menyediakan perumahan rakyat dan pusat pengajian tinggi di daerah Setiu, yang sehingga kini masih belum memiliki institusi pendidikan tinggi.

“Kita bersedia menyediakan tapak melalui pejabat tanah sekiranya kerajaan bersetuju membina pusat pengajian di kawasan ini.

“Ia akan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat Langkap,” tambahnya.

Beliau turut berharap usaha ini dapat menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih bersatu padu, aman dan sejahtera.