Home Berita PAS Sabah

Lebih 2,000 meriahkan Fun Run PASTI Tawau

133
SHARE

Oleh : Nur Syarifah Ariffin
25 Julai 2023

TAWAU : PASTI Tawau telah mengadakan Fun Run di Padang Lama Majlis Perbandaran Tawau, Jalan OKK Abu Bakar, Ahad lepas.

Program itu mendapat sambutan luar jangkaan yang mana lebih 2000 orang pelajar, ibu bapa, guru dan petugas hadir melibatkan 21 buah PASTI di sekitar daerah itu.

Pengarah Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Tawau, Dr Munzier Mahamud berkata Fun Run ini adalah salah satu program dalam elemen ‘celik cerdas’ berdasarkan sistem penilaian Prestasi Murid (SPPM) mengikut kurikulum PASTI.

“Kesedaran menjaga kesihatan melalui aktiviti sebegini adalah satu keperluan untuk kita kenalkan kepada anak-anak seawal usia 4, 5 dan 6 tahun,” katanya yang juga Ketua Lajnah Kesihatan PAS Tawau.

Sementara itu, pengerusi PASTI Tawau, Irwan Hamdan pula mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa yang hadir bagi menjayakan program itu.

“Fun Run ini tidak ada pertandingan, semua anak-anak yang hadir kita raikan dengan berlari bersama ahli keluarga.

“Pihak PASTI ingin memaklumkan murid-murid perlu bersedia dengan latihan bola sepak dan bola jaring yang akan dipertandingkan pada awal bulan 8 nanti,” katanya.

Turut diadakan aktiviti senamrobik sebelum semua murid dan ibu bapa memulakan larian mengelilingi padang.