Home Berita PAS Terengganu

Lebih 200 bot dilepaskan serentak sempena Candat Sotong

11
SHARE

MARANG – Lebih 200 bot nelayan dilepaskan serentak ke laut sempena pelancaran Program Candat Sotong Terengganu 2025 yang berlangsung meriah di Jeti Pelancongan Marang baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata program itu bukan saja menghidupkan suasana musim candat, tetapi turut mempromosikan budaya tradisi nelayan Terengganu kepada dunia luar.

“Program ini disertai lebih 200 peserta dari dalam dan luar negara, termasuk 50 peserta antarabangsa dari Thailand, Bangladesh, Chile dan Perancis,

“Tahun ini, tema ‘Pakat Maghi Candat Sotong 2025’ berjaya tarik ramai peserta termasuk penggiat media sosial dan wartawan luar negara,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Candat Sotong Terengganu 2025 bertempat di Jeti Marang, kelmarin.

Turut hadir, Timbalannya, Sulaiman Sulong dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Hilman Hajijan.

Razali berkata, musim candat sotong yang berlangsung dari April hingga Ogos tahun ini dijangka melibatkan lebih 3,000 bot, dengan kehadiran kira-kira 30,000 pelancong ke perairan Terengganu.

“Pogram ini mampu menjana lebih RM7.5 juta kepada ekonomi tempatan termasuk pengusaha bot, pemilik penginapan dan peniaga kecil.

“Pelancaran musim candat kali ini juga dilihat sebagai langkah awal Terengganu menyemarakkan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan menjadikan aktiviti laut sebagai tarikan utama pelancong,” ujarnya.