Home Berita PAS Terengganu

Lebih 1,600 Sertai Fun Run Perantau Anak Terengganu

7
SHARE

SHAH ALAM – Lebih 1,600 peserta terdiri daripada anak-anak Terengganu termasuk mahasiswa dan warga perantau yang menetap di sekitar Lembah Klang menyertai Program Fun Run Perantau Anak Terengganu 2025 bertemakan ‘Lari Demi Ukhwah’ yang berlangsung meriah di Taman Tasik Shah Alam.

Program anjuran PERANTAU Lembah Klang itu menjadi wadah penting dalam memperkukuh ukhuwah serta semangat kekeluargaan sesama anak Terengganu di perantauan.

Melalui penganjuran ini, ia turut mendorong gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan komuniti.

Acara tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan kepimpinan negeri Terengganu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Sukan, Pembangunan Belia dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi bin Wan Abdullah, dan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Muhammad Khalil Abdul Hadi, bersama 10 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pemimpin lain.Terdahulu, Hishamuddin menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program tersebut serta menyeru agar warga perantau terus menyokong inisiatif dan program yang dianjurkan oleh Persatuan Perantau Anak Terengganu (PERANTAU).

“Kerajaan Negeri Terengganu amat menghargai peranan dan semangat anak-anak Terengganu di perantauan.“Kami berharap agar para perantau sentiasa menyokong serta bersama-sama menjayakan program anjuran PERANTAU yang berfungsi sebagai jambatan ukhuwah antara kita semua,” ujar beliau.

Beliau menambah, sokongan berterusan daripada perantau bukan sahaja memperkukuh jalinan silaturrahim, malah mengeratkan hubungan dengan kepimpinan negeri serta menyemai rasa cinta terhadap tanah kelahiran.