Home Berita PAS Pahang

Lebih 100 keluarga mangsa banjir Kg Chendering terima bantuan PKM ADN Panching

321
SHARE

Oleh: AZAHARI B.A.

PAYA BESAR, 6 Jan :: Lebih 100 keluarga penduduk di Kg. Baru Pandan 2, atau lebih dikenali Kg. Chendering di sini yang terkesan dengan banjir baru-baru ini telah menerima bantuan pelbagai keperluan harian.

Sumbangan tersebut daripada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) disampaikan sendiri oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Panching, YB Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya di dalam satu majlis ringkas di markas PAS Cawangan Kg. Chendering yang juga dikenali sebagai Balai Purnama.

Sumbangan kali ini adalah sebagai menyempurnakan pemberian bantuan kepada semua penduduk yang sebahagiannya telah disampaikan secara terus rumah ke rumah pada minggu lalu.

Penyampaian kali ini dibuat secara setempat di mana mereka yang telah mengisi borang makluman diminta hadir ke Balai Purnama bagi menerimanya.

Mohd Tarmizi di dalam ucapan ringkasnya memaklumkan cara penyampaian sedemikian dibuat kerana beliau tidak berkesempatan untuk mengunjungi semua mangsa dari rumah ke rumah kerana kekangan masa.

“Saya memang suka menziarahi tuan puan semua secara fizikal satu keluarga demi satu keluarga, tetapi cara begitu sangat memakan masa dan dalam sehari mungkin hanya dapat kunjungi kira-kira sepuluh rumah sahaja, sedangkan saya juga perlu menyampaikan bantuan kepada ribuan lagi warga Paya Besar yang juga terkesan banjir,” kata Mohd Tarmizi yang juga Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Paya Besar.

Beliau mengambil kesempatan di dalam pertemuan itu menasihati mangsa-mangsa yang telah ditimpa musibah dengan meminta mereka bersabar dengan ujian melalui petikan sepotong Firman Allah SWT yang bermaksud, “Katakanlah, tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakal orang-orang yang beriman,” (Surah At-Taubah 9:51).

Mempengerusikan majlis tersebut adalah Ketua PAS Cawangan Kg. Chendering, Kamaruddin Abd Rahman yang juga bertanggungjawab menyelaraskan majlis itu.