Home Berita PAS Pahang

Lawatan Jawatankuasa Harian turun ke Cawangan mantapkan organisasi

148
SHARE

OLEH: KHAULAH AL AZWAR

BENTONG, 15 Dis. :: PAS Kawasan Bentong terus mengorak langkah proaktif demi kelangsungan organisasinya melalui penganjuran program Lawatan Jawatankuasa Harian Ke Cawangan-Cawangan yang berlangsung di sekitar DUN Pelangai Ahad lalu.

Program anjuran Lajnah Pemerkasaan Parti PAS Kawasan Bentong ini bermatlamat mengeratkan tali silaturrahim dan membugar semangat berjamaah melalui konsep teras rukun usrah iaitu taaruf, tafahum dan takaful.

Menurut Timbalan Yang Dipertua PAS (TYDP) Kawasan Bentong, merangkap Pengerusi Lajnah Pemerkasaan Parti, Ustaz Ahmad Junaidi Ishak, salah satu di antara kekuatan PAS dari sudut organisasi adalah kebersamaan perjuangan bermula dari bawah ke atas.

“Kita berjuang dan bekerja sifatnya bermula ‘dari bawah ke atas’ bukannya ‘dari atas ke bawah’ kerana perjuangan PAS bukan bersifat materialis tetapi bersifat ‘jihad dan pengorbanan’,” ujar beliau.

Tambahnya, di dalam memperkukuhkan PAS Kawasan Bentong sebagai sebuah gerakan dakwah, siasah dan tarbiah, kekuatan cawangan-cawangan dari segenap aspek tidak boleh dikesampingkan.

“Justeru kita mencadangkan program lawatan Jawatankuasa Harian PAS Kawasan turun ke setiap cawangan untuk menyemarakkan konsep teras perjuangan kita iaitu, taaruf, tafahum dan takaful,” ujarnya.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan Bentong, Khairuddin Abdullah selaku ketua lawatan kerja sehari itu berkata, bekerja di dalam perjuangan Islam perlukan pengorbanan, perancangan dan penyusunan.

“Firman Allah dalam surah as-Saff yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berjuang pada jalan Allah, mereka berada dalam barisan yang teratur (berorganisasi) seumpama batu-bata sebuah bangunan yang tersusun kukuh”.

“Batu bata yang tersusun rapi merupakan asas utama kepada tertegaknya bangunan yang teguh dan kukuh. Peranan batu batu amat penting walaupun ia kecil tetapi apabila ia disusun dengan baik, maka akan tertegak sebuah bangunan yang kukuh,” ujar Khairuddin.

Beliau turut menitip sebuah kisah inspirasi seekor burung kelicap membantu menyedut dan memadam api Nabi Ibrahim menggunakan paruhnya yang kecil ketika Raja Namrud memerintahkan khalilullah itu dibakar hidup-hidup.

“Secara mata kasar, memanglah saiz dan paruh burung tu kecil dan nampak macam kerja sia-sia sebab tidak logik burung sekecil itu mampu membawa air banyak nak padam api besar.

“Tetapi oleh kerana ia tidak putus asa dan niatnya memang benar-benar ikhlas untuk membantu Nabi Ibrahim, dengan izin dan pertolongan Allah api yang marak itu mampu terpadam.

“Semoga kisah-kisah begini mampu menjadi inspirasi dan semangat kepada para kader perjuangan baik di cawangan mahupun kawasan agar terus istiqomah membantu perjuangan Islam tak kira siapa dan dimana jua posisi anda berada,” ujar Khairuddin bersemangat.

Beliau berkata demikian di hadapan Ketua PAS dan Ketua Muslimat serta jawatankuasa di lima cawangan PAS sekitar DUN Pelangai yang diziarahi, iaitu Felda Kemasul, Cemomoi, Sg. Kemahal, Kampung Bukit Gajah dan Simpang Pelangai.

Pada program itu juga, PAS Kawasan Bentong turut menerima serahan sepuluh borang keahlian baru daripada wakil Naib Ketua PAS Cawangan Sungai Kemahal, Mohd. Lizam Abu Bakar.

Selain YDP dan TYDP, program julung kali diadakan ini juga turut disertai Naib Yang Dipertua (NYDP), Samsuddin Abdullah, Setiausaha Kawasan, Ismail Abu Bakar dan Bendahari, Azmin Baharuddin, Pengarah Pilihanraya Kawasan, Jamali Raib serta Penolong Setiausaha (PSU) 1 dan 2, Tuah Tonel dan Suzaila Sudar.

Turut bersama, wakil Ketua Dewan Pemuda Kawasan (DPPK), Fikri Abdullah, Naib Ketua Muslimat, Liza Yusof, Ketua Dewan Ulamak, Ustaz Azahari Jailani, Ketua Lajnah Kebajikan, Mustafa Abu Bakar dan Ketua Lajnah Pendidikan, Cikgu Kassim Samat.

Lawatan dan ziarah mahabbah pertama telah berlangsung pada 7 Disember lalu dimulai dengan PAS Cawangan Ketari dan dijangka berakhir sebelum program Retreat PAS Kawasan Bentong yang dijadualkan berlangsung pada 25 hingga 26 Disember ini.