
Dewan Ulama PAS Wilayah Persekutuan memandang serius lawatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ke Malaysia pada ketika dunia masih bergelut dengan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Palestin.
Sebagai individu yang menyokong rejim Zionis Israel secara terbuka, kehadiran beliau ke Malaysia jelas menimbulkan keresahan dan kebimbangan dalam kalangan umat Islam di negara ini. Dunia ketika ini masih menyaksikan kekejaman tanpa henti rejim Zionis ke atas rakyat Palestin di Gaza – termasuk pembunuhan beramai-ramai, kemusnahan infrastruktur awam, serta pengusiran paksa yang jelas bertentangan dengan prinsip kemanusiaan sejagat. Sehubungan itu, penolakan terhadap Donald Trump bukan hanya datang dari kalangan umat Islam Malaysia, bahkan turut dizahirkan oleh masyarakat antarabangsa yang menentang kezaliman dan penindasan.
Dewan Ulama PAS Wilayah Persekutuan menggesa kerajaan Malaysia agar terus dan perlu berpegang teguh kepada dasar luar negara yang konsisten untuk tidak mengiktiraf Israel serta menolak sebarang bentuk hubungan rasmi atau tidak rasmi, termasuk juga dengan mana-mana pihak yang menyokong penindasan terhadap rakyat Palestin. Lawatan individu yang mempunyai rekod menyokong kezaliman Zionis mesti dinilai dengan penuh berhati-hati agar tidak menjejaskan maruah negara dan sensitiviti umat Islam.
Dalam masa yang sama, Dewan Ulama PAS Wilayah menyeru seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira agama dan bangsa, untuk terus memperkukuh solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin. Usaha ini boleh dilaksanakan melalui doa, sumbangan kemanusiaan, kempen kesedaran awam, serta tekanan diplomatik terhadap mana-mana pihak yang bersekongkol dengan Israel.
Islam menuntut agar keadilan ditegakkan dan kezaliman ditolak di mana sahaja ia berlaku. Justeru, pendirian tegas terhadap isu Palestin bukan sekadar tuntutan agama, tetapi juga lambang komitmen Malaysia terhadap nilai kemanusiaan sejagat.
“Kemenangan adalah milik mereka yang teguh berprinsip dan tidak tunduk kepada kezaliman.”





