Home Berita PAS Terengganu

LAUT beri diskaun 50 peratus kepada pemegang lesen rumah bot

22
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri melalui Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT) bersetuju memberikan potongan sebanyak RM500 daripada harga baharu RM1,000 setahun kepada pemegang lesen rumah bot di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu berkuat kuasa pada 6 Mac lalu.

Pengarah Laut, Safura Mad Juhari berkata, harga baharu lesen sebanyak RM1,000 itu ditetapkan setelah Peraturan-Peraturan Sumber Air Terengganu (Caj Pendaftaran Vesel) 2025 diwartakan bagi menggantikan Enakmen Lalulintas 1988.

Menurutnya, pewartaan peraturan baharu itu  bertujuan mengawal selia aktiviti navigasi di sumber air dalam negeri Terengganu.

“Pembayaran caj ini diharap dapat mencerminkan komitmen dan kesepaduan pemegang taruh dalam mengurangkan risiko kepada sumber air seperti risiko pencemaran, pengurusan sampah pepejal yang kurang efisien, hakisan tebing dan lain-lain.

“Antara kawasan tumpuan bagi navigasi di sumber air adalah di Tasik Kenyir, yang merupakan sumber bekalan air utama bagi lima buah daerah di negeri ini, selain kawasan penjanaan kuasa hidroelektrik, dan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Kelas 1,”ujar kenyataan itu.

Tambahnya, pendekatan itu dirangka melalui beberapa Sesi Libat Urus (SLU) bersama pelbagai pihak berkepentingan sejak tahun 2023 termasuk pengusaha bot, nelayan, NGO, agensi penguatkuasaan dan jabatan kerajaan.

Jelas beliau lagi, hasil kutipan caj pendaftaran vesel akan disalurkan bukan sahaja kepada pembangunan infrastruktur seperti kemudahan pembuangan sisa dan pemantauan kualiti air, tetapi juga kepada kajian had keupayaan penerimaan beban pencemar di Tasik Kenyir.

“Keseluruhan usaha ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kelestarian sumber air dan keseimbangan antara keperluan ekonomi, rekreasi, serta pemeliharaan alam sekitar.

“la juga menekankan tanggungjawab kolektif dalam memastikan pengurusan sumber air yang mampan demi manfaat masyarakat dan alam sekitar secara berterusan,” katanya.