Khabar PAS Kawasan Dari Selangor | PAS Kawasan Selayang
Oleh : Umar Al-Hayawi
SELAYANG, 7 Ogos – Bila seseorang dikuarantin atau memerlukan bantuan, tidak kira datang daripada parti politik PAS, UMNO, Bersatu, PKR, Amanah, DAP atau parti apa sekalipun, tidak perlu ada halangan untuk kita membantu kerana isu kebajikan ini melangkaui segala-galanya.
YDP PAS Kawasan Selayang, Tn Hj Zaidy Abdul Talib bersama petugas-petugas sukarelawan Team PAS Selayang, bila ada info mengenai terdapat keluarga yang memerlukan bantuan atau sedang dalam kuarantin, mereka akan turun menyampaikan bantuan pek makanan.
“Sedih bila mendengar berita masih juga ada memilih-memilih dalam urusan menyalurkan bantuan”, katanya.
Menurut beliau, sedikit kerisauan bermain dalam minda para petugas dan telahpun disuarakan sesama mereka mengenai keadaan COVID-19 yang kini dengan pelbagai varian dan variasi yang ditemui, amat merisaukan mereka.
Walaupun pelbagai kerisauan menyelubungi pemikiran, mereka terus bersemangat dalam urusan dan gerak kerja membantu mereka yang memerlukan. Mereka turut memberi penekanan kepada penjagaan SOP sesama petugas dan kesemua petugas mereka telah pun divaksin sekurang-kurangnya dos yang pertama.
Semoga segala usaha murni mereka dibalas dengan sebaiknya disisi Allah SWT dan juga semoga usaha tersebut dapat meringankan sedikit beban yang dipikul para penerima dalam meneruskan kehidupan mengharungi situasi pandemik COVID-19.
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor