24 Julai 2019: PAS Kawasan Putrajaya pada hari ini telah membuat satu laporan polis di IPD Putrajaya berhubung tindakan seorang pemilik akaun Facebook bernama Wendy Loong yang telah membuat hantaran berserta karikatur yang menghina Agama Islam dan Nabi Muhammad SAW bertarikh 23 Julai 2019.
Laporan polis telah dibuat oleh Yang Di Pertua (YDP) PAS Kawasan Putrajaya, Sdr Ahmad Roshidi bin Wahab dengan diringi oleh Setiausaha Sdr Nazzuan bin Rohaidin. Turut serta mengiringi ialah kira-kira hampir tiga puluh (30) orang penyokong terdiri daripada ahli-ahli PAS Kawasan Putrajaya dan ahli-ahli UMNO Putrajaya serta NGO Geng Surau Putrajaya (GSP) yang juga turut sama merekodkan satu (1) lagi laporan polis secara berasingan.
Dalam ucapannya setelah selesai prosedur laporan polis, Ahmad Roshidi menyatakan rasa kesal dan marah bagi pihak seluruh ahli-ahli PAS Putrajaya terhadap tindakan biadap pemilik akaun tersebut. Beliau menyentuh tentang pelanggaran prinsip Rukun Negara yang utama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, di mana Islam itu adalah agama persekutuan. Maka apabila penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW secara terang-terangan ini berlaku, ia seolah-olah sengaja mencetuskan provokasi bagi mewujudkan ketegangan kaum dan agama di Negara Malaysia.
Melalui laporan polis yang dibuat ini juga, PAS Putrajaya berharap pihak PDRM dan SKMM dapat mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pemilik akaun Facebook tersebut. Tindakan yang tegas ini diyakini dapat memberi peringatan kepada masyarakat di luar sana agar mengelakkan sebarang situasi yang boleh menggugat keharmonian serta menjaga sensitiviti kaum dan agama.
YDP PAS Kawasan Putrajaya berserta ahli-ahli dan penyokong juga telah berkesempatan untuk mendirikan solat isyak berjemaah di Surau Amaniah, IPD Putrajaya dengan turut disertai oleh anggota yang bertugas.
ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN