Home Berita PAS Pahang

Laporan polis pertegas tuntut aktiviti dan premis judi di Kuantan wajib dibanteras

144
SHARE

Oleh: HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 23 Jan :: Sebanyak enam laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan mengenai satu premis judi yang beroperasi di Indera Mahkota 15, Kuantan baru-baru ini.

Perkara itu disedari oleh penduduk di kawasan perumahan tersebut apabila menerima iklan yang menyatakan; percuma download dalam telefon anda, datang kedai cuci duit ambil cash terus, cepat dan mudah.

Salah seorang penduduk yang tidak mahu namanya dikenali berkata, beliau terus menghubungi Majlis Bandaraya Kuantan dan memaklumkan bahawa kedai tersebut dibuka atas lesen perniagaan kedai runcit untuk mengaburi mata masyarakat.

Laporan polis tersebut telah dibuat oleh wakil Masjid Ar Rayyan, Norisan Nordin, wakil Masjid Salahuddin Al Ayubbi, Jalil Mohamad, Ketua PAS Cawangan IM15, Felza Zulhibri Abd Hamid, KRT Taman Astana View, Mohalis Masri, KRT Taman  Mahkota, Noruldin Mamat dan Azian Ali.

Ketua Penerangan PAS Kawasan Indera Mahkota (PASKIM) Ahmad Azlan Abu Bakar yang turut sama bersoladariti di IPD tersebut berkata, aktiviti dan premis judi itu wajib dibanteras dan tindakan tegas daripada pihak berkuasa wajar dikenakan kepada pesalah, bertepatan dengan ajaran Islam yang menghukumkan judi itu haram.

“Saban hari dilihat aktiviti dan premis judi ini bak cendawan tumbuh. Statistik yang dikeluarkan menunjukkan berlaku peningkatan 96% berlaku pada tahun 2021 berbanding 2020.

“Jika tidak dibanteras, PASKIM merasakan ia akan memberikan satu implikasi yang buruk kepada masyarakat setempat dan boleh meningkatkan lagi kadar jenayah,” katanya lagi.

Beliau menambah PASKIM mengharapkan agar masyarakat boleh sama-sama membantu pihak berkuasa untuk membanteras aktiviti haram ini agar kadar jenayah dapat dikurangkan sekaligus mewujudkan persekitaran yang harmoni, kondusif dan mendapat keberkatan Allah SWT.