KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Alam Sekitar, Sains dan Perladangan, Dewan Rakyat akan menyediakan satu laporan khas mengenai potensi air bawah tanah untuk dibentangkan di Parlimen.
Pengerusi JKPK, Dato’ Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim berkata, ia susulan dapatan dan syor hasil daripada Seminar Potensi Air Bawah Tanah: Alternatif Pengurusan Sumber Air di Malaysia yang berlangsung di Dewan Bankuet, Parlimen Malaysia, semalam.
Menurut beliau, laporan tersebut akan dibina berdasarkan input seminar serta sesi libat urus lanjutan bersama agensi-agensi teknikal berkaitan bagi memastikan dasar yang dicadangkan benar-benar berpaksikan bukti saintifik dan analisis menyeluruh.
“JKPK komited untuk memastikan sebarang cadangan penambahbaikan dasar dan perundangan berkaitan pengurusan sumber air negara dapat disokong dengan bukti dan analisis yang kukuh,” katanya dalam ucapan penutup seminar berkenaan.
Mengulas lanjut katanya, laporan itu dijangka membantu Parlimen merangka dasar awam yang lebih berkesan dan berpandangan jauh dalam menangani isu keselamatan bekalan air negara melalui eksplorasi sumber air alternatif.
Seminar yang dianjurkan bersama oleh Parlimen Malaysia dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah dirasmikan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Dr. Johari Abdul, manakala ucapan alu-aluan disampaikan oleh Timbalan Menteri PETRA, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Empat pembentangan utama telah diadakan melibatkan:
• Dr. Kotaro Takemura (Japan Water Forum) – berkongsi pengalaman Jepun dalam pengurusan lestari sumber air bawah tanah;
• Dato’ Ir. Mohd Zaki Mat Amin (NAHRIM) – mempersembahkan dapatan penyelidikan kebangsaan dan transformasi industri air tanah;
• Dato’ Zamri Ramli (JMG) – membentangkan teknologi pemetaan dan eksplorasi akuifer;
• Dato’ GS. Azlikamil Napiah (MYSA) – menampilkan teknologi angkasa dan geospatial untuk pemantauan sumber air masa nyata.
Pameran agensi teknikal seperti NAHRIM, JMG, MYSA, Agensi Nuklear Malaysia dan LUAS turut diadakan sebagai sebahagian daripada program, mempamerkan data, inovasi dan aplikasi teknikal terkini dalam pengurusan sumber air tanah.
Amzad berkata, pendekatan rentas agensi dan berasaskan sains amat penting bagi menjayakan pengurusan sumber air tanah secara holistik di Malaysia.
“Seminar ini bukan titik akhir, tetapi satu permulaan ke arah pelaksanaan dasar air yang lebih mampan, menyeluruh dan berorientasikan masa depan negara,” katanya.