Khabar PAS Kawasan Dari Selangor | PAS Kawasan Kota Raja
Oleh : Umar Al-Hayawi
KOTA RAJA, 24 Julai – PAS Kawasan Kota Raja melalui sebuah entiti yang dibina dibawah naungan Khidmat Malaysia meneruskan lagi usaha-usaha mereka bagi menyokong, menyantuni dan membantu mereka yang memerlukan bantuan serta mereka yang ditimpa masalah.
Team Khidmat Masyarakat KRCAMALSELANGOR telah menghantar pesakit bagi menjalani rawatan dialisis. Natasha, 21 kini terpaksa melalui proses rawatan dialisis kerana kedua-dua buah pinggangnya telah mengalami kerosakan. Sehingga kini, beliau telah menjalani sebanyak enam kali rawatan. Sebelum ini beliau datang ke pusat rawatan, membonceng motosikal yang dibawa oleh ibunya.
Kebiasaan proses rawatan mengambil masa yang lama iaitu dalam lingkungan 4 hingga 5 jam. Diceritakan, dahulunya Natasha ini seorang anak muda yang ceria dan telah bekerja lebih dua tahun untuk pendapatan diri serta membantu keluarga. Kini, ibunya pula yang bekerja untuk menyara keluarga dan membayar sewa rumah tetapi sudah dua bulan dicutikan.
Sementara menunggu permohonan diluluskan LZS, mereka terpaksa mengurangkan jumlah rawatan daripada tiga kali kepada dua kali seminggu kerana kos rawatan yang sangat tinggi iaitu RM250 untuk sekali rawatan.
KRCAMALSELANGOR akan membantu mereka dengan khidmat pengangkutan untuk mereka bagi tujuan rawatan setiap Sabtu dan Selasa. Mari sama-sama doakan kesembuhan kepada Natasha dan diberi kesabaran kepada ibunya.
Seterusnya, KRCAMALSELANGOR menyerahkan mesin ‘Oxygen Concentrator’ kepada Pasukan Bomba Sukarela Briged Amal Selangor. Peralatan ini sangat diperlukan untuk membantu mereka yang memerlukannya disebabkan kesukaran bernafas akibat Covid-19. Dikatakan, sudah kali kedua alat ini dipinjamkan kepada pasukan ini kerana alat ini sangat membantu.
Ketika ini, KRCAMALSELANGOR hanya mempunyai tiga unit ‘Oxygen Concentrator’ dan kesemuanya sedang digunakan oleh pesakit-pesakit Covid-19 yang memerlukan.
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor