KUALA TERENGGANU – Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Terengganu sedang diteliti oleh Kerajaan Negeri bagi menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata pihaknya telah melakukan tinjauan di Lapangan Terbang tersebut yang dikatakan agak suram.
“Melalui tinjauan tersebut, kami mendapati bahawa LTSM sedikit mengalami kesusahan dari sudut pelancong asing untuk terus datang ke negeri Terengganu.
“Ramai pelancong asing yang transit di Singapura dan lalu jalan darat ke semenanjung Malaysia,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Sidang media dan Penyerahan Penajaan Mount Tebu Climbathon Challenge (MTCC) 2023 bertempat di Aras Bawah, Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu (JPNT), Fadli Yusof Zakaria.
Tambah Razali, perbincangan juga telah dijalankan bersama pihak imigresen dan kastam untuk tindakan lanjut.
“Insya-Allah, dalam masa terdekat kerajaan negeri akan berusaha untuk murnikan lagi Lapangan terbang tersebut yang juga merupakan mercu tanda negeri Terengganu,” ujarnya.
Untuk rekod, LTSM merupakan lapangan terbang antarabangsa yang terkenal terutamanya pada musim haji.