KEMAMAN – Program ‘Langkah Sihat Wanita Kijal 2.0’ berjaya menghimpunkan lebih 500 peserta daripada pelbagai lapisan umur dari sekitar Kemaman dan kawasan berhampiran, sekali gus menjadi platform penyatuan masyarakat melalui aktiviti sihat dan bermanfaat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris berkata, program yang berlangsung di Bandar Baru Kijal itu bermula seawal jam 7 pagi dengan pendaftaran peserta sebelum diteruskan dengan aktiviti berjalan kaki sejauh 3 kilometer mengelilingi laluan utama bandar tersebut.
“Acara kemuncak turut diserikan dengan sesi cabutan bertuah yang paling dinantikan, dengan hadiah utama berupa ‘Gold Bar’ dan pendingin hawa (aircond) menjadi tarikan utama kepada peserta.
“Menariknya, program kali ini turut menzahirkan solidariti buat adik Zara Qistina sebagai simbol sokongan masyarakat dalam menyeru agar budaya buli dihentikan sepenuhnya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Perasmian ‘Langkah Sihat Wanita Kijal’ bertempat di Dewan Terbuka Paya Lasir Bandar Baru Kijal semalam.
Turut hadir Pegawai Khas Ahli Parlimen Kemaman, Hazri Jusoh, Senator, Che Alias Hamid, ketua Suri Kijal, Mestilah Mohamed, dan Ketua Sahabat Annisa Kijal, Nurul Hidayat Ibrahim.
Razali melahirkan ucapan tahniah kepada semua terlibat dalam penganjuran program berkenaan.
“Insya-Allah, ia akan dijadikan acara tahunan yang mengumpulkan masyarakat dalam suasana sihat dan penuh mesra.
“ Saya berharap agar program sebegini terus diberi sokongan padu oleh seluruh masyarakat demi melahirkan komuniti yang lebih sihat, harmoni dan prihatin.