Oleh : HABSAH ALI
Kuantan, 1 Mac – “Kelewatan menangani isu anjing liar, menyebabkan dua kanak-kanak menjadi mangsa serangan anjing liar,” kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah YB Dato’ Andansura Rabu.
Beliau menegaskan bahawa kejadian serangan anjing liar baru-baru ini di sini, bukan kes terpencil, banyak aduan mengenai masalah ini sejak lebih setahun lalu, terutama melibatkan keselamatan kanak-kanak dan warga emas.
“Aduan mengenai masalah anjing liar telah disalurkan kepada pihak berkuasa melalui surat, aplikasi whatsApp, dan sistem aduan atas talian, tetapi setakat ini tiada tindakan konkrit atau maklum balas yang memadai diterima,” ujar beliau.
Menurutnya lagi, aduan mengenai ancaman anjing liar juga telah dibangkitkan oleh wakil-wakil kawasan lain dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Daerah, menambah berat isu ini.
“Saya ulangi gesaan saya sebelum ini supaya pihak berkuasa menubuhkan pasukan khas untuk mengurus dan menangani isu ini.
Jaminan perlu ditunjukkan kepada masyarakat bahawa keresahan dan kerunsingan mereka diberi perhatian sewajarnya,” tambah beliau lagi.
Andansura Rabu di laman sosialnya memaklumkan mangsa pertama, Adam Rifqi (10), diserang sekumpulan enam hingga lapan ekor anjing liar ketika bermain bersama abangnya dan rakan-rakan di Taman PSJ, Sungai Karang. Salah seekor anjing menggigit kakinya, manakala yang lain mengerumuninya, beliau telah cuba mempertahankan diri dengan menggunakan sebatang kayu, tetapi gagal menakutkan anjing-anjing tersebut sehingga pekerja warga Bangladesh yang berada di situ bertindak pantas menghalaunya.
Akibat serangan itu, Adam terpaksa bercuti sekolah selama dua minggu untuk menjalani rawatan dan menerima suntikan vaksin bagi mencegah penyakit.
Sementara mangsa kedua dalam laman sosial Andansura Rabu adalah Norhana (4), diserang di tepi pantai Sungai Ular ketika bersama keluarganya. Ketika dia berlari ke arah abangnya, tiga ekor anjing liar menerpa dan salah seekor menggigit bahunya. Insiden berlaku dalam sekelip mata sebelum keluarganya sempat bertindak.
“Kira-kira dua minggu lalu, sekumpulan penduduk di Air Putih turut menghadapi ancaman anjing liar. Aduan telah dikemukakan kepada pihak berkuasa melalui pelbagai saluran, namun sehingga kini tiada maklum balas yang memuaskan,” katanya.
Beliau sekali lagi menegaskan keperluan mendesak untuk pihak berkuasa menubuhkan pasukan khas yang mampu menangani masalah ini secara lebih sistematik dan berkesan.
“Langkah drastik perlu diambil segera untuk melindungi keselamatan masyarakat dan memastikan kejadian serupa tidak berulang,” tegas beliau lagi.