Oleh : Daing Siti Norbaity Abd Latif
MARANG – Program LAMANITA peringkat daerah Marang membuka lembaran baharu dalam keusahawanan wanita apabila ibu tunggal dan suri rumah di daerah ini mula diterapkan dengan kemahiran pertanian secara praktikal di halaman rumah sendiri.
Pengerusi KHAIRUNNISA’ Terengganu, To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abd Rahman berkata, LAMANITA yang membawa maksud ‘Laman Wanita’, memberi fokus kepada konsep pertanian skala kecil di sekitar kediaman sebagai sumber makanan dan pendapatan isi rumah secara lestari.
Beliau menyifatkan usaha tersebut selari dengan aspirasi wanita berdikari dan produktif.
“Program LAMANITA ini bukan sahaja medan mencipta peluang baharu, malah langkah untuk memperkasa wanita agar tidak hanya bergantung kepada pendapatan orang lain, sebaliknya mampu jana rezeki dari laman sendiri.
“Pertanian kini adalah industri moden. Dengan ilmu dan teknologi yang betul, wanita mampu mengubah halaman rumah menjadi ladang yang menjana pendapatan,” katanya ketika berucap merasmikan Program LAMANITA Daerah Marang di Masjid Paya Resak, Bukit Payong di sini, semalam.
Justeru, beliau menyeru agar peserta tidak takut gagal, sebaliknya menjadikan setiap langkah sebagai ruang belajar yang akhirnya akan membuahkan hasil.
“Wanita berjaya ialah mereka yang tidak pernah berhenti mencuba. Rebut peluang ini dengan semangat dan keyakinan,” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Pertanian Daerah Marang, Nik Muhamad Haizul Nik Sufian berkata, Jabatan Pertanian sentiasa bersedia untuk menjadi penasihat teknikal dan rakan strategik kepada peserta program.
“Kami alu-alukan jika peserta nak panggil kami turun tengok sendiri masalah di lapangan. Setiap tahun, kami anjurkan pelbagai kursus seperti baja organik yang boleh dijalankan secara ‘hands-on’ bersama komuniti,” jelasnya.
Tegas beliau, pertanian memerlukan pengalaman sebenar di lapangan untuk memahami cabaran serta kenikmatan hasil tuaian sendiri.
“Sayur yang ditanam sendiri bukan sahaja lebih sihat kerana bebas sisa racun, tapi beri kepuasan kepada keluarga yang menikmatinya,”katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, program LAMANITA adalah salah satu inisiatif Kerajaan Negeri melalui PITAS2030 bagi meningkatkan kesejahteraan wanita.
“Program ini menyasarkan wanita luar bandar, khususnya suri rumah dan ibu tunggal yang ingin meningkatkan pendapatan melalui pertanian bandar dan agro-produk,” katanya.