Home Berita PAS Selangor

Laman Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Selangor | Us Shafie Ngah – PAS – Parti Suka Berkawan

423
SHARE

Tahun 2014, kami Ahli-Ahli Yang Berhormat daripada Negeri Selangor, Perak dan Negeri Sembilan diberi taklimat oleh Dato’ Ayub Khan (waktu itu beliau mengetuai satu jabatan penting di Bukit Aman) di sebuah pusat latihan polis di Cheras Selangor.

Taklimat berkenaan adalah berkisar tentang keselamatan dalam negeri dan luar negara. Lebih khusus, Dato’ Ayub Khan memberi syarahan mengenai aktiviti golongan ekstremis di dalam negeri dan di luar negara, termasuk kegiatan kumpulan-kumpulan seperti ISIS dan DAESH.

Tidak sedikit kumpulan yang mengaitkan diri mereka dengan agama. Semua agama terlibat tanpa kecuali – Kristian, Hindu, Buddha, Yahudi dan Islam. Ramai yang terpengaruh dengan mainan sandiwara kumpulan-kumpulan berkenaan sehingga sanggup bertindak gila, sama ada terhadap diri sendiri dan keluarga atau/dan lebih-lebih lagi kepada orang luar.

Sebenarnya di belakang aktiviti kumpulan berkenaan adalah gangstrerism. Tujuannya adalah untuk mengaut harta sebanyak mungkin, untuk dipersembahkan kepala-kepala kumpulan. Selebihnya adalah wanita dan kebebasan amalan seksual. Mereka meracuni akal dan fikiran pengikut-pengikut kumpulan berkenaan dengan pelbagai slogan dan cita-cita masa depan, bak sihir yang memukau.

Ringkasnya begitu.

Selesai sesi taklimat, saya bercakap dengan beberapa orang rakan YB daripada parti lain dalam komponen Pakatan Rakyat (ketika itu PAS bersama Pakatan Rakyat). Saya sebut betapa bersyukurnya kita di Malaysia kerana ada PAS.

PAS berperanan untuk membetulkan salah tanggap terhadap gerakan kumpulan agama. Kerana PAS punyai dasar, matlamat dan halatuju yang tertulis dengan jelas lagi terang.

PAS, sekalipun dijenamakan dengan agama – Islam, PAS bergerak berasaskan al-Quran dan as-Sunnah. Malah asas ini ditulis secara jelas di dalam perlembagaan parti dan didaftarkan di ROS. Tiada dolak dalik.

Lebih dari itu, PAS beraksi di pentas politik tanah air mengikut acuan demokrasi, sebagaimana acuan yang dibentuk bagi negara Malaysia yang merdeka. Ini pun tiada dolak dalik.

Saya kata kepada mereka betapa Malaysia beruntung dengan adanya PAS kerana dasar, matlamat dan aktiviti parti kami adalah jelas, boleh dibaca, boleh dikritik, boleh dilawan, boleh diikuti dan boleh diulas – luar dan dalam, masa dahulu, masa kini kini dan masa hadapan.

Dasar, matlamat dan aktiviti PAS menunjukkan PAS adalah parti yang legal. PAS bukan parti gerakan subversif, apatah lagi ekstremis. PAS jauh sekali menyamai ISIS dan DAESH.

PAS menentang kekerasan. PAS tidak pernah berjuang dengan mengangkat senjata.
Sejarah membuktikan betapa PAS sedia jatuh dan bangun dalam politik tanah air dengan ladasan legal, demokrasi dan lapang dada.

Itu penjelasan saya kepada rakan-rakan politik, dahulu semasa kami masih bersama. Dan, ini juga penjelasan saya kepada rakan-rakan politik yang tidak bersama, hari ini. Tidak berubah.

Kepada rakan-rakan dalam DHPP, ini janji kami. You don’t worry. Kita kawan sampai bila-bila.

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

26 Zulhijjah 1441H | 16 Ogos 2020

#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemimpinPerpaduan