Home Berita PAS Selangor

LAMAN Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Selangor | Us Shafie Ngah – Islam Memimpin, Wanita Sejahtera

594
SHARE

Hanya sekadar gambar hiasan

Oleh
Mohd Shafie Ngah
YDP PAS Kawasan Bangi

  1. Muqaddimah Firman Allah (al-Maidah : 3);

“Pada hari ini Aku telah perlengkapkan agama bagi kamu dan aku telah sempurnakan untuk kamu nikmat-Ku serta Aku telah merestui ISLAM sebagai deen kamu.”

Islam adalah deen (cara hidup) yang dipilih oleh Allah dan diturunkan ke alam ini oleh Allah juga untuk seluruh umat manusia. Islam diturunkan oleh Allah melalui pengantara iaitu manusia, bukan jin bukan batu batan bukan gunung ganang dan bukan juga malaikat. Manusia yang dipilih Allah sudah tentu merupakan manusia yang sangat istimewa. Manusia istimewa itu disebut sebagai Rasul. Betapa istimewanya seseorang Rasul Allah telah memeliharanya daripada sebarang dosa dan kesalahan. Pemeliharaan Allah itu diistilahkan sebagai ma’sum. Justeru, seseorang Rasul tidak akan berlaku salah atau silap dalam semua tindak tanduknya. Allah sebut di dalam al-Quran (an-Najm : 3):

“dan ia (Rasul) tidak akan berkata mengikut kehendak kecenderungan dirinya, sebaliknya semua adalah wahyu yang yang diwahyukan.”

Rasul terakhir yang Allah utuskan adalah Muhammad SAW. Baginda seorang manusia, seorang yang ma’sum serta seorang yang menjadi contoh dan pedoman dalam menafsirkan Islam di dalam kehidupan. Gelaran kepada Muhammad SAW adalah Rasulullah (pesuruh Allah).

  1. Islam Dan Wanita Melalui Rasulullah SAW, Allah telah menurunkan Islam. Melalui Rasulullah SAW juga Allah menunjukkan jalan kebaikan. Dalam konteks kaum wanita, Islam memberi penghormatan yang setara dengan lelaki, malah dalam sesetengah keadaan Islam melebihkan wanita berbanding lelaki sesuai dengan lumrah kewanitaan mereka. Melalui Rasulullah SAW Islam menunjuk jalan bagaimana menghormati wanita, memberikan hak-hak mereka dan memberi pedoman bagi menyelesaikan persoalan dan permasalahan yang berkaitan dengan mereka. Justeru, jika wujud sebarang persoalan atau pertikaian mengenai kewanitaan rujuklah kepada sumber-sumber ajaran Islam. Itulah lebih utama dan lebih baik. Firman Allah (an-Nisa’ : 59);

“Jika kamu bertelingkah tentang sesuatu perkara maka rujuklah kepada Allah dan al-Rasul jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Itulah yang lebih baik dan penyelesaian yang sebenar.”

Ayat di atas mengarahkan rujukan dibuat kepada Allah jika wujud sesuatu pertikaian bermaksud arahan merujuk kepada al-Quran, manakala rujukan kepada al-Rasul pula bermaksud arahan merujuk kepada al-Sunnah, iaitu pedoman yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, sama ada pedoman dalam bentuk kata-katanya, tingkah lakunya mahupun ketetapan-ketetapan yang pernah dibuatnya.

Penyelesaian mengenai persoalan dan permasalahan wanita serta hak dan tanggungjawab mereka tidak ditinggalkan oleh al-Quran. Allah berfirman (al-An’am : 38);

“Aku tidak meninggalkan satupun permasalahan daripada dinyatakan di dalam al-Quran.”

Umat Islam adalah orang yang beriman kepada Allah dan Rasul. Sebab itu tidak wajar seseorang yang beriman mencari sumber lain daripada al-Quran dan al-Sunnah dalam mencari penyelesaikan masalah kehidupan, termasuk permasalahan wanita. Sekalipun dunia hari ini serba moden dan canggih serta persekitaran tanpa sempadan, rujukan kepada al-Quran dan al-Sunnah tidak boleh ditinggalkan. Al-Quran dan al-Sunnah tidak pernah ketinggalan zaman.

Sesungguhnya Islam memberi pedoman dan garis panduan tentang wanita di sepanjang zaman. Islam telah mengeluarkan wanita daripada zaman kegelapan angkara kezaliman jahiliyah, Islam telah menaikkan darjat kaum wanita sepadan dengan kaum lelaki, Islam mengiktiraf kemampuan diri wanita, Islam memberi hak dan keistimewaan kepada kaum wanita, dan pelbagai lagi.

Tulisan ini akan menghuraikan tajuk-tajuk kecil berikut sebagai penjelasan penegasan kedudukan wanita menurut Islam;

  1. Islam mengeluarkan wanita daripada kegelapan akibat kezaliman jahiliyah
  2. Islam menyama taraf kedudukan wanita dan lelaki sebagai seorang individu
  3. Islam memuliakan wanita sebagai anak, isteri dan ibu
  4. Islam membenarkan perceraian sebagai suatu pelepasan
  5. Islam mengasihi wanita dalam memendekkan tempoh ‘iddah
  6. Islam meninggikan peranan wanita dalam keutuhan rumahtangga
  7. Islam memberi hak kepada kaum wanita dalam menentukan kepemimpinan masyarakat dan negara
  8. Islam mengiktiraf kemampuan wanita dalam kepemimpinan masyarakat dan negara
  9. Islam mengakui kebolehan wanita sebagai hakim, wakil, pendamai dan pembuat keputusan
  10. Islam memberi hak wanita dalam pewarisan pusaka

Pertama : Islam mengeluarkan wanita daripada kegelapan akibat kezaliman jahiliyah

Zaman jahiliyah adalah zaman kegelapan bagi kaum wanita. Ini kerana jahiliyah meletakkan seseorang wanita di taraf yang paling rendah dan hina, serendah dan sehina binatang ternakan. Bagi sesebuah keluarga, kelahiran seseorang anak perempuan amat mendukacitakan kerana kelahiran itu amat memalukan. Begitulah yang Allah gambarkan di dalam a-Quran ( al-Nahl : 58-59);

“Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang daripada mereka (orang-orang jahiliyah) bahawa ia mendapat anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana dukacita), sedang dia menahan marah di dalam hatinya. Ia bersembunyi daripada orang ramai kerana merasa malu disebabkan berita buruk yang disampaikan kepadanya (iaitu mendapat anak perempuan, sambal ia berfikir) adakah ia akan memeliharanya dalam keadaan hina atau ia akan menanamnya hidup-hidup? Ketahuilah, sungguh jahat apa yang mereka tentukan itu.”

Di zaman jahiliyah kaum wanita ditindas dan dizalimi. Mereka tidak lebih melainkan hanya sebagai hamba dan barang dagangan. Mereka dilayan sebagai budak suruhan tanpa ganjaran, objek pemuas nafsu lelaki tanpa sempadan dan barangan jualan yang diperdagangkan.

Islam datang membebaskan kaum wanita daripada belenggu penindasan dan kezaliman, menjadikan mereka mulia dan perlu dimuliakan. Tidak siapapun boleh mempermain-mainkan wanita, menghina atau merendah-rendahkan. Senario memuliakan wanita ini dibawa oleh Islam di sepanjang zaman dari dahulu sehingga sekarang.

Pernah berlaku peristiwa di mana maruah seorang wanita Islam dipersendakan, sehingga mencetuskan pembunuhan di zaman Rasulullah SAW. Peristiwa berlaku selepas peperangan Badar, di kala kebencian musuh Islam belum padam. Seorang wanita, semasa mahu pulang setelah selesai berurusan di sebuah pasar awam, ada seorang Yahudi kaum Qainuqa’ menarik kainnya sehingga ternampak auratnya. Seorang lelaki muslim ternampak kejadian tersebut lalu naik berang, terus membunuh si Yahudi tersebut. Pembunuhan itu mencetuskan perbalahan sehingga sekumpulan Yahudi bertindak balas membunuh lelaki tersebut pula. Peristiwa tersebut dilaporkan kepada Rasulullah SAW dan tindakan mengepung Yahudi Qainuqa’ dilakukan. Akhirnya selepas 15 hari kepungan, kaum Yahudi Qainuqa’ dihalau keluar dari Kota Madinah.

Peristiwa kedua, pada zaman Khalifah al-Mu’tasim, lebih dua ratus tahun selepas zaman Rasulullah SAW. Kejadian berlaku apabila seorang wanita ditangkap oleh sekumpulan lelaki bukan Islam semasa wanita tersebut membeli barangan di pasar Ammuriah (sekarang dalam wilayah Turki). Wanita tersebut menjerit; “wahai Mu’tasamah, wahai Mu’tasamah, tolong!”. Lelaki-lelaki tersebut tertawa dan mengejek wanita berkenaan dan berkata; “jangan harap khalifah al-Mu’tasim akan menolong kamu. Dia berada jauh dari sini.” Kejadian tersebut dilihat seorang Muslim. Beliau terus bergegas ke Baghdad menemui Khalifah al-Mu’tasim untuk mengadu. Lalu al-Mu’tasim berseru; “Wahai ibu, kamu tunggu, Mu’tasim datang membebaskanmu.” Al-Mu’tasim turun ke sempadan Ammuriah dengan bala tenteranya dan mengutus surat kepada pemerintahnya; “Daripada hamba Allah al-Mu’tasim kepada anjing Rom, apabila surat ini sampai kepadamu lepaskan tawanan wanitamu, atau bala tenteraku akan menyerang kamu.” Pemerintah Ammuriah berdegil, menyebabkan tentera al-Mu’tasim mengepung bandar Ammuriah selama 5 bulan. Akhirnya pemerintah Ammuriah dan pengikut-pengikutnya dihalau keluar daripada Ammuriah, dan wanita berkenaan dibebaskan.

Begitulah besarnya maruah seorang wanita dari kacamata Islam. Maruah seorang wanita sama besarnya dengan maruah agama Islam itu sendiri.

Kedua : Islam menyamataraf kedudukan wanita dan lelaki sebagai seorang individu

Wanita dan lelaki berbeza. Namun perbezaan mereka hanya dari sudut fizikal, guna untuk melengkapkan keperluan diri dan naluri di antara satu dengan yang lain. Hakikatnya, taraf wanita adalah sama dengan lelaki. Rasulullah SAW pernah menyebut (HR Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi & al-Darimi);

“Sesungguhnya wanita itu adalah syaqa’iq (saudara seibu sebapa) bagi lelaki.”

Saudara seibu sebapa maksudnya adalah sama taraf dan kedudukan. Dalam nas yang lain Allah SWT berfirman (al-Hujurat : 13);

“Wahai sekelian manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan wanita..”

Firman-Nya lagi (ali Imran : 195);

“Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka dengan firman-Nya; Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal seseorang yang melakukan amalan dari kalangan kamu, sama ada lelaki mahupun wanita…”

Lagi Firman Allah (al-nahl : 97)

“Sesiapa yang melakukan amal soleh, lelaki mahupun perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan ia dengan kehidupan yang baik, dan sesunggunya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala (pembalasan) yang lebih baik daripada apa yang telah mereka lakukan.”

Firman Allah lagi (al-Ahzab : 33-35);

“Sesungguhnya seorang lelaki muslim dan seorang perempuan muslimah, seorang lelaki mukmin dan seorang perempuan mukminah……., Allah telah menyediakan bagi mereka semua keampunan dan pahala yang besar.”

Nas-nas di atas menunjukkan bahawa kedudukan wanita adalah sama dengan kaum lelaki, dari sudut sumbangan mereka kepada agama, melakukan amal ibadat dan amal kebajikan. Masing-masing mendapat ganjaran yang serupa sesuai dengan amal masing-masing.

Nas di atas juga adalah bukti dan penegasan bahawa Allah memberi ganjaran bukan berdasarkan jenis jantina mereka, sebaliknya adalah berdasarkan amal diri masing-masing.

Sesungguhnya benarlah bahawa Islam meletakkan wanita sama taraf dengan kaum lelaki.

Ketiga : Islam memuliakan wanita sebagai anak, isteri dan ibu

Dalam Islam tidak akan berlaku sesebuah keluarga dirundung malu kerana mempunyai anak perempuan. Ini kerana seseorang anak yang dilahirkan, tidak kira lelaki ataupun perempuan adalah anugerah Tuhan. Semuanya mulia sebagai seorang insan. Firman Allah (al-Isra’ : 70);

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan bani Adam (manusia) dan Kami telah beri mereka kemampuan menggunakan berbagai kenderaan di darat dan di lautan, dan Kami berikan rezeki kepada mereka dari benda yang baik-baik, serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya berbanding makhluk-makhluk lain yang telah Kami ciptakan.”

Kemuliaan seseorang manusia adalah kerana ianya manusia, bukan kerana lelaki atau wanita. Lelaki dan wanita, kedua-duanya mulia dan kedua-duanya bertaraf sama. Itu adalah prinsip dan dasar persamaan taraf dalam islam.

Namun, walaupun pada dasarnya lelaki dan wanita itu sama, ada aspek-aspek berbeza di antara lelaki dan wanita. Perbezaan ini bukan bermaksud berlawanan dengan prinsip persamaan taraf sebagaimana yang dibentangkan di atas, tetapi sebaliknya adalah disesuaikan dengan fitrah, naluri dan bentuk kejadian wanita yang sengaja Allah ciptakan berbeza dengan kaum lelaki.

Pertama kerana wanita adalah pasangan dan kegembiraan bagi kaum lelaki, dan lelaki pula adalah pasangan dan kegembiraan kepada kaum wanita pula. Firman Allah (al-Baqarah : 187);

“Isteri-isteri kamu adalah seumpama pakaian bagi kamu (untuk kamu bersuka-suka dengannya), dan kamu pula adalah pakaian bagi mereka..”

Dan Firman-Nya (a-Rum : 21);

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuatan dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu isteri-isteri jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, di dijadikan-Nya di antara kamu berdua perasaan kasih saying dan belas ihsan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berfikir.”

Kedua kerana fizikal wanita diciptakan boleh mengandung dan melahirkan anak, tidak seperti lelaki. Justeru hak dan tanggungjawabnya disesuaikan dengan kondisi berkenaan. Demikian juga hak dan tanggungjawab seorang lelaki yang mempunyai isteri yang mengandung dan melahirkan anak-anaknya. Sebagai timbal balas, lelaki (suami) tersebut berhak dinasabkan anak tersebut kepadanya. Manakala tanggungjawab pula suami berkenaan bertanggungjawab menyara diri isterinya sepanjang masa, serta membiaya anak-anaknya sehingga dewasa. Bukan tanggungjawab isteri menyara dirinya sendiri apalagi suaminya. Bukan juga tanggungjawab isteri membiaya kehidupan anak-anaknya. Firman Allah (al-Baqarah : 228);

“…dan kewajiban bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada isterinya dengan cara yang patut…”

Mengenai perkara yang sama iaitu kewajiban menyara (memberi nafkah), dalam keadaan seseorang suami sudah meninggal dunia atau hilang kemampuannya, Islam tidak memindahkan tanggungjawab itu kepada si isteri untuk menyara dirinya sendiri dan anak-anaknya, sebaliknya Islam meletakkan tanggungjawab itu kepada waris si suami, sama ada bapa si suami atau adik-beradik lelakinya. Firman Allah dalam ayat yang sama (al-Baqarah : 228);

“…dan waris pula menanggung kewajiban tersebut (jika si bapa sudah tiada)…”

Ketiga kerana seorang wanita itu jiwanya lebih lembut, perasaannya lebih halus dan kasih sayangnya lebih dalam. Jiwa, perasaan dan kasih sayang lelaki tidak sama seperti jiwa, perasaan dan kasih sayang seorang wanita. Sebab itu Allah menyuruh para suami melayan isterinya dengan baik (ma’ruf). Firman Allah (al-Nisa’ : 19);

“..Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri kamu) dengan cara yang ma’ruf.”

Seterusnya, di samping seseorang wanita mendapat hak disantuni dengan baik, dibiaya keperluannya dan dihormati kehidupannya, Islam juga melarang seseorang wanita, apabila bertaraf seorang ibu, disapa dengan keras atau buruk oleh anak-anaknya. Islam melarang keras sapaan demikian. Demikian firman Allah (al-Isra’ : 23);

“Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya sahaja, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali sampai umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka jangankah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

Firman Allah lagi (al-Ahqaf : 15);

“Kami perintah kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya mengandung dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah juga. Mengandungnya hingga memeliharanya sehingga tempoh tiga puluh bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa; ya Tuhanku pandulah aku untuk mensyukuri nikmyt-Mu yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku dapat berbuat amal soleh yang Engkau redhai, dan berilah kebaikan kepadaku dengan memberi kebaikan kepada ank cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku termasuk golongan orang-orang yang menyerah diri.”

Begitulah kedudukan seorang ibu yang mesti disanjungi dan dihormati. Al-Quran mengulang-ulang ayat perintah supaya ibu disanjungi dan dihormati, bagi membuktikan bahawa Islam meletakkan seorang wanita bergelar ibu di tahap yang tinngi dan mulia.

Kedudukan seseorang ibu dalam konteks yang lain pula, lebih utama berbanding seorang bapa. Keutamaan ini adalah nilai tambah yang diberikan khusus kepada seorang ibu. Seseorang ibu semestinya seorang wanita. Kelebihan tersebut bukan sekali ganda, malah tiga kali ganda. Rasulullah SAW (Riwayat al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.);

“Pernah seseorang datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya; wahai Rasulullah kepada siapakah aku perlu utamakan baktiku? Jawab baginda; ibumu. Tanya lelaki itu lagi; siapa lagi? Jawab baginda; ibumu. Lelaki itu bertanya lagi; kemudian siapa lagi? Baginda mengulangi; ibumu. Lelaki itu bertanya lagi; kemudian siapa lagi? Jawab baginda; kemudian bapamu.”

Keempat : Islam membenarkan perceraian sebagai suatu pelepasan

Perceraian adalah adalah salah satu syariat (peraturan) Islam. Seorang wanita yang berkahwin boleh diceraikan dan boleh menuntut perceraian. Tidak ada jeleknya seorang wanita menuntut perceraian jika sekiranya ia perlu berbuat demikian. Sama seperti tiada jeleknya seseorang lelaki menceraikan isterinya jika sekiranya ia perlu berbuat demikian.

Islam membenarkan perceraian, sama ada perceraian secara sukarela mahupun paksaan. Perceraian secara sukarela bermaksud persetujuan bersama suami isteri untuk memutuskan ikatan perkahwinan mereka berdua. Manakala perceraian secara paksaan pula bermaksud perintah mahkamah keadilan yang memutuskan bahawa ikatan perkahwinan sepasang suami isteri terlerai. Dalam istilah undang-undang perintah tersebut disebut fasakh.

Islam membenarkan perceraian kerana perceraian merupakan suatu pelepasan atau kelegaan bagi pasangan yang berhadapan dengan ketegangan rumahtangga. Terutama ketegangan yang berpanjangan dan tidak dapat diselesaikan melalui perundingan.

Seorang isteri boleh menuntut supaya beliau diceraikan sekiranya perkahwinan yang dilaluinya mengandungi tekanan atau kemudaratan, samada dari sudut fizikal mahupun emosi. Lebih awla tekanan atau kemudaratan tersebut dinilai dari sudut hukum syarak dan pertimbangan akal, bukan dari sudut pertimbangan akal semata-mata. Umpamanya suami tidak melayan dan berkomunikasi dengan isteri secara ma’ruf seperti selalu memukul isteri, sering memaki hamun isteri, tidak memberi nafkah yang cukup kepada isteri, memaksa isteri melakukan kesalahan dan lain-lain lagi.

Seseorang isteri tiada halangan untuk menuntut perceraian pada bila-bila masa yang beliau mahukan sekiranya wujud alasan-alasan di atas. Buatlah tuntutan dengan cara yang betul dan ditempat yang betul, iaitu di mahkamah syariah (bagi orang Islam).

Benar, Islam tidak memberi kuasa talak kepada seseorang isteri. Kuasa talak hanya ada pada tangan suami. Namun Islam itu adil. Islam membenarkan seseorang isteri mencari gandingan (associates) dalam proses membuat tuntutannya, seperti mahkamah, ahli keluarga dan rakan taulan. Maksud gandingan ialah, pihak lain yang statusnya kuat atau berotoriti, menjadi penyokong kepada dirinya. Seseorang isteri memerlukan gandingan untuk membantu dirinya, tidak seperti seorang suami yang boleh berdiri sendiri. Islam membenarkan seorang isteri mendapatkan gandingan atau penyokong dengan tujuan menjadikan beliau kuat, tabah dan berupaya. Bukan setakat itu, Islam juga mahu menjaga maruah seseorang isteri (baca : wanita) terpelihara walau beliau dalam usaha menuntut hak-haknya.

Imam as-Syafie di dalam kitabnya al-Umm menjelaskan bahawa seseorang isteri tidak boleh keluar rumah tanpa izin suaminya kerana tindakan tersebut merupakan tindakan nusyuz (derhaka kepada suami). Nusyuz dilarang oleh agama. Namun agama membenarkan seseorang isteri keluar rumah tanpa izin suami untuk menjaga dirinya daripada mudarat dan untuk mendapatkan hak-haknya, dengan syarat tindakan keluar rumah tanpa izin suami itu adalah untuk mencari pihak yang kuat seperti Kadhi (mahkamah).

Kelima : Islam mengasihi wanita dalam memendekkan tempoh ‘iddah

Penulis mahu mengulangi di sini bahawa seseorang isteri tiada halangan untuk menuntut perceraian pada bila-bila masa yang beliau mahukan. Selepas bercerai seseorang isteri perlu melalui tempoh ‘iddah, guna untuk membersihkan rahimnya daripada benih suami terdahulunya.

Tempoh ‘iddah ada yang pendek dan ada yang panjang. Islam menggalakkan, jika mahu bercerai biarlah perceraian itu memilih tempoh ‘iddah yang pendek bagi isteri yang diceraikan, supaya membolehkan si isteri berkahwin lain jika beliau mahu. Sebab itu Islam tidak suka seorang suami menceraikan isteri ketika isterinya dalam tempoh haid atau nifas. Ini kerana kedua-dua masa itu menyebabkan ‘iddah isterinya menjadi lebih panjang, berbanding jika diceraikan ketika dalam keadaan suci.

Tempoh ‘iddah yang pendek juga boleh berlaku jika perceraian semasa si isteri sedang mengandung. Ini kerana tempoh ‘iddah perempuan mengandung adalah sehingga beliau melahirkan. Contohnya, beliau diceraikan ketika usia kandungannya sembilan bulan. Secara normalnya seseorang perempuan hanya menunggu beberapa hari sahaja untuk melahirkan anak. Justeru, apabila beliau melahirkan, habislah tempoh ‘iddahnya. Beliau boleh berkahwin lain sejurus selepas habis ‘iddah, jika mahu, walaupun mungkin beliau masih dalam nifas. Islam pun tidak melarang seseorang perempuan berkahwin semasa dalam nifas, sama seperti tiada larangan berkahwin semasa dalam tempoh haid.

Keenam : Islam meninggikan peranan wanita dalam keutuhan rumahtangga

Ibu adalah orang yang paling rapat dengan anak-anaknya. Ibu yang mengandung dan melahirkan anak-anak. Ibulah juga yang selalu berdamping dengan anak-anak dalam proses pembesaran anak-anaknya. Tambahan pula ibu dikurniakan sifat lemah lembut, penyayang, sensitif dan sabar, melebihi seorang bapa. Justeru itu layaklah ibu memainkan peranan utama dalam keutuhan sesebuah keluarga.

Peri pentingnya peranan ibu kepada anak-anak maka Islam menegaskan bahawa ibu adalah orang yang paling layak dan paling utama memelihara anak-anaknya yang masih kecil, terutama jika berlaku perceraian. Dalam sebuah hadith (Riwayat Abu Daud);

Abdullah bin Amru (r.a.) melaporkan, pada suatu hari ada seorang perempuan mengadu kepada Rasulullah SAW katanya; Wahai Rasulullah, sesungguhnya anakku ini, perutku adalah tempatnya, susuku adalah tempat minumnya dan pangkuanku adalah tempat duduknya sedangan ayahnya telah menceraikanku dan ingin merampasnya daripadaku. Lalu rasulullah SAW berkata kepadanya;

“Engkau lebih berhak menjaganya selagi mana engkau berlum bernikah.”

Pengaruh ibu sangat banyak mencorak pembentukan dan pembangunan sesebuah keluarga. Malah dari sudut pembentukan seseorang tokohpun banyak dimainkan peranan oleh ibu. Ada benarnya kata-kata “tangan yang menghayun buaian boleh mengoncang dunia!” (The hand that rocks the cradle rules the world).

Ketujuh : Islam memberi hak kepada kaum wanita dalam menentukan kepemimpinan masyarakat dan negara

Di samping peranan pentingnya di dalam institusi keluarga, peranan wanita juga penting di dalam institusi masyarakat dan negara. Dalam konteks masyarakat dan negara wanita berperanan sama dalam dengan kaum lelaki, iaitu melaksanakan tanggungjawab menasihat, memperbaiki dan mengajak kepada kebaikan dan menghalang daripada kemungkaran. Firman Allah (al-Taubah : 71);

“Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, sebahagiannya menjadi penolong kepada sebahagian yang lain, mereka menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah daripada kemungkaran, dan mereka mendirikan solat serta menunaikan zakat, dan taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha bijaksana.”

Dalam sejarah awal Islam terdapat ramai wanita yang turut serta dan memberi sumbangan dalam pembangunan masyarakat dan negara, mengajak kepada ma’ruf dan menceragah daripada mungkar, seperti anak perempuan saidina Abu Bakar (r.a.) dan adik perempuan saidina Umar (r.a.). Asma’ binti Abu Bakar pernah menyebut;

“Aku pernah berkhidmat kepada az-Zubair dengan menguruskan rumahtanga. Beliau ketika itu seorang pahlawan dan aku menolong mengawasi dan membakar semangatnya.”

Urusan menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah kemungkaran adalah urusan pembangunan masyarakat dan negara. Urusan tersebut termasuklah dalam aspek ekonomi sosial dan politik. Dalam aspek politik, urusannya melibatkan pemilihan pemimpin. Justeru itu kaum wanita boleh dan wajar bergandingan dengan kaum lelaki dalam aspek tersebut. Islam tidak menghalannya.

Kelapan : Islam mengiktiraf kemampuan wanita dalam kepemimpinan masyarakat dan negara

Islam membenarkan penglibatan wanita dalam proses pemilihan pemimpin. Islam juga membenarkan wanita menjadi pemimpin. Ini kerana wanita mampu memegang jawatan, dan Islam membenarkan seseorang yang berkemampuan untuk memegang jawatan tidak kira lelaki mahupun wanita.

Islam membenarkan wanita memegang jawatan sejajar dengan kebenaran Islam kepada kaum wanita dalam menuntut ilmu dan memainkan peranan dalam urusan menyuruh yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran. Dalam aspek menuntut ilmu Islam mengesa umat Islam mencarinya. Sabda Rasulullah SAW (riwayat Ibnu Majah);

“Menuntut ilmu itu fardhu (wajib) bagi seseorang muslim.”

Perkataan ‘muslim’ di dalam hadith di atas adalah termasuk ‘muslimah’. Demikian dimuktamadkan oleh jumhur ulama.

Gesaan menuntut ilmu bertujuan untuk melahirkan umat yang cerdik, boleh bertindak mengikut akal yang waras, boleh memimpin dan boleh mengajar orang lain pula.

Dalam sejarah Islam ramai kalangan cerdik pandai dari kaum wanita sehingga menjadi guru kepada orang lain, malah mampu memberi fatwa. Tokoh-tokoh ilmuan wanita pada zaman awal Islam yang tersohor adalah Saidatina ‘Aisyah, Asma’ Umu Darda, Zainab binti Abi al-Qasim, Syahdat, Maryam binti Ya’kub, al-Syifa binti al-‘Adawiy dan lain-lain lagi. Rasulullah SAW pernah meminta al-Syifa binti al-‘Adawiy dari Kabilah bani ‘Adiy mengajar isteri baginda Hafsah Ummul Mukminin menulis.

Dengan ilmu seseorang wanita boleh mengajar dan mendidik, dengan ilmu juga wanita boleh memberi fatwa, memimpin serta memegang jawatan dan tanggungjawab.

Kesembilan : Islam mengakui kebolehan wanita sebagai hakim, wakil, pendamai dan pembuat keputusan

Dengan ilmu juga seseorang wanita boleh menjadi hakim, menjadi wakil, menjadi pendamai dan membuat keputusan. Sesungguhnya tugas-tugas menjadi hakim, menjadi wakil, menjadi pendamai dan membuat keputusan tidak terhad kepada kaum lelaki sahaja. Tugas-tugas tersebut diberikan kepada sesiapa sahaja yang layak, termasuk wanita.

Para ulama Islam membenarkan seseorang wanita yang layak untuk menjadi hakim (dan hakam : pendamai), menjadi wakil dan membuat keputusan kerana Islam menggalakkan menuntut ilmu. Orang yang berilmu adalah orang yang layak memegang jawatan dan tanggungjawab.

Juga kerana urusan-urusan di atas adalah urusan yang berkait dengan meyuruh yang ma’ruf dan mencegah daripada kemungkaran. Justeru, tiada halangan bagi kaum wanita memainkan peranannya.

Secara umum, nas-nas berikut telah menjadi panduan. Pertama, firman Allah (al-Nisa’ : 35);

“Dan jika kamu takut berlaku perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah hakam (orang tengah, pendamai) untuk mendamaikan mereka, iaitu seorang dari keluarga belah lelaki dan seorang dari keluarga belah perempuan. Jika kedua-dua hakam itu berperanan untuk mendamaikan nescaya Allah akan menjadikan kedua-duanya berpakat baik. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui dan Maha Tahu.”

Kedua, Firman Allah (al-Taubah : 71);

“Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, sebahagiannya menjadi penolong kepada sebahagian yang lain, mereka menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah daripada kemungkaran, dan mereka mendirikan solat serta menunaikan zakat, dan taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha bijaksana.”

Kesepuluh : Islam memberi hak wanita dalam pewarisan pusaka

Islam datang untuk membebaskan wanita daripada belenggu jahiliyah, penindasan dan penafian hak. Dalam aspek pencarian dan pemilikan harta, islam mengiktiraf peranan dan hak wanita mempunyai iaitu mempunyai peranan dan hak yang sama dengan kaum lelaki. Firman Allah (al-Nisa : 32);

“Dan janganlah kamu mengharap-harap (teringin mendapatkan) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian daripada kamu. Bagi orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan bagi perempuan pula ada bahagian yang mereka usahakan. (Maka berusahalah kamu) dan mohonlah kepada Allah akan limpah kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui tiap-tiap sesuatu.”

Dalam perkara harta pusaka pula Islam memberi hak kepada kaum wanita, tidak seperti zaman jahiliyah yang menafikan hak-hak mereka. Dalam aspek ini Islam telah memperincikan bahagian lelaki dan wanita mengikut kondisi-kondisi yag berbagai rupa. Ada yang mendapat habuan penuh, ada yang dapat separuh, ada yang mendapat seperempat, seperenam, seperlapan, baki dan lain-lain bahagian lagi. Kesemuanya Islam perincikan melalui nas-nas dari al-Quran, al-Hadith, ijma’ ulama dan al-Qias. Penentuan bahagian tersebut sebagai meleraikan kekusutan dalam urusan berkenaan, dan sebagai membuktikan adilnya Islam, sesuai dengan hak dan tanggungjawab masing-masing.

  1. Penutup Islam adalah al-Deen, cara hidup yang syumul. Islam mengatur dan memberi panduan kehidupan manusia, sama ada sesama manusia atau manusia dengan alam sekitar, sama ada sesama orang Islam atau orang Islam dengan orang bukan Islam. Panduan Islam ini kekal dan sesuai sampai bila-bila, dari awal kehidupan seseorang sehingga ke hujung usianya, dari kecil hingga dewasa, dari kalangan lelaki dan wanita. Justeru, ambillah Islam sebagai pedoman dan panduan, secara keseluruhannya bukan ambil sebahagian-sebahagian. Firman Allah (al-Baqarah : 208);

“Wahai orang-orang beriman, masuklah (patuhi) ke dalam Islam secara keseluruhannya dan kamu mengikut jejak langkah (ajaran) syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang terang.”

Islam memimpin, wanita sejahtera.

Wallahu a’lam.

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemimpinPerpaduan
#MediaPASSelangor