KEMAMAN – Pelan pembangunan fasa pertama Konsortium Pelabuhan Kemaman (KPK) bagi pelaksanaan kerja pembinaan laluan kereta api (spur line) dari stesen utama dijangka siap sebelum akhir tahun depan.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC Bhd), Ir Muhtar Suhaili berkata, projek yang menelan kos RM20 juta itu akan dimulakan selewat-lewatnya akhir tahun ini dan dijangka siap dalam masa 13 bulan.
Jelas beliau, pihaknya kini dalam proses perbincangan untuk perlantikan konsultan dan pasukan pengurusan projek (PMT)
“Laluan ini akan menghubungkan stesen utama Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Pelabuhan Kemaman,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program bersama media di Pelabuhan Kemaman di Telok Kalong semalam.
Menurut Ir Muhtar, projek pembesaran pelabuhan kemaman akan diteruskan untuk beberapa fasa iaitu fasa kedua yang dijangka bermula pada 2026 dan fasa ketiga pada 2030 dengan anggaran kos RM3 bilion untuk memenuhi permintaan aktiviti yang semakin meningkat.
“Kita sedang berbincang dengan beberapa orang pelabur yang boleh bekerjasama dengan untuk fasa ketiga termasuklah memanjangkan lagi pelabuhan kita dan fungsinya untuk menampung keperluan pengguna pelabuhan dalam masa sekarang dan masa hadapan.
“Pelan ini dimulakan seiring dengan peningkatan kapasiti pegendalian kargo sebanyak 12 juta tan metrik (MT) pada masa ini sehingga 30 juta MT akan direkodkan setelah projek pembesaran ini siap kelak.